Sampai bila nak hadap banjir? - Utusan Malaysia

Sampai bila nak hadap banjir?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia semalam tentang lebih 8.3 juta penduduk di Lembah Klang bakal berdepan risiko banjir berterusan amat membimbangkan warga kota.

Ia susulan kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur kini hanya tinggal kira-kira 30 peratus daripada keluasan asal 114.5 hektar.

Mangsa paling dekat adalah para peniaga di Medan Selera Jaya 223, Petaling Jaya. Mereka sudah tiga kali berhadapan banjir dalam tempoh kurang tiga bulan sejak Mei 2026.

Paras air kali ini dilaporkan mencecah sehingga dua meter. Selain merosakkan peralatan perniagaan, beberapa peti sejuk turut terbalik akibat arus deras. Peniaga tidak sempat menyelamatkan barang kerana banjir kilat itu berlaku dalam tempoh singkat kira-kira 20 minit.

Demikianlah nasib peniaga Jalan 223. Setiap kali hujan lebat, mereka resah mengenangkan apa nasib mereka. Adakah jadi mangsa banjir kilat lagi atau sebaliknya.

Pada 9 Mei lalu, akhbar ini turut melaporkan majoriti sistem perparitan di Lembah Klang dibina mengikut data taburan hujan 30 hingga 40 tahun lalu. Lantas menjadi antara punca utama kekerapan banjir kilat sejak ke­belakangan ini.

Sistem saliran lama itu dibina berdasarkan kapasiti terdahulu ketika kadar pembangunan bandar dan kepadatan penduduk masih berada pada tahap rendah berbanding keada­an semasa.

Dalam bahasa mudah, pembangunan Lembah Klang selama ini tidak mempedulikan aspek alam sekitar. Penyusutan kawasan tadahan berlaku selepas sebahagian besar kawasan berkenaan diberi hak milik kepada pemaju bagi tujuan pembangunan.

Selain itu, sistem saliran lama yang sempit, cetek dan tidak di­selenggara secara konsisten menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan mudah tersumbat oleh sampah serta mendapan lumpur.

Justeru, kerajaan perlu mewartakan kawasan tadahan banjir dan kawasan resapan air sebagai kawasan yang tidak boleh dibangunkan bagi memastikan fungsi semula jadi kawasan tersebut terus terpelihara.

Langkah ini sepatutnya sudah dilaksana sejak dahulu. Pada masa sama, kerajaan perlu menetapkan had yang jelas terhadap keluasan pembangunan yang dibenarkan. Pembangunan jika dibiarkan tanpa kawalan, kapasiti asal kawasan tersebut untuk menyerap dan menampung air hujan akan terus berkurangan, sekali gus meningkatkan risiko banjir.

Konsep Bandar Span atau ‘Sponge City’ yang dicadangkan hanya berkesan mengurangkan risiko banjir, sekiranya pembangunan dikawal dan kawasan hijau serta kawasan tadahan air terus dipelihara.

Namun, melihat kepada situasi terkini perancangan pembangunan di Lembah Klang terutama pusat bandar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, pendekatan itu dilihat tidak realistik atau sia-sia.

Sebabnya, jumlah hujan di sesuatu kawasan tidak berubah, sebaliknya keupayaan sesuatu kawasan untuk menyerap air menjadi faktor utama dalam mengawal alir­an permukaan.

Jika pembangunan terus mengurangkan kawasan hijau, konsep ini tidak akan mencapai matlamatnya. Apabila kawasan tidak telap air seperti bangunan, jalan raya dan permukaan konkrit semakin bertambah, kapasiti penyerapan air akan semakin berkurangan.

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia