Setiap kali berlaku jerebu, kita mengulangi cerita yang sama. Sekolah ditutup, aktiviti luar dihentikan, pelitup muka kembali dipakai dan masyarakat mula memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (API). Ia dianggap selesai bila tiba hujan.
Jerebu rentas sempadan, berulang di Asia Tenggara sejak tahun 80-an dengan episod besar pada tahun 90-an. Namun, sehingga kini, masalah sama masih berulang dengan kesan yang semakin dirasai masyarakat.
Krisis jerebu yang melanda Sarawak baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak. Pada 20 Ogos lalu, sebanyak 591 sekolah di 10 daerah diarahkan tutup selama dua hari, melibatkan kira-kira 197,323 murid, pada tahap sangat tidak sihat.
Angka itu bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap sekolah yang ditutup, ada anak-anak kehilangan waktu pembelajaran, guru yang perlu menyesuaikan kaedah pengajaran dan ibu bapa yang terpaksa mengubah jadual kerja serta urusan penjagaan anak. Peniaga, pengusaha pelancongan, sektor pembinaan dan aktiviti ekonomi lain turut menerima tempias apabila pergerakan masyarakat terbatas.
Lebih membimbangkan ialah kesan terhadap kesihatan yang terganggu kerana jerebu tidak seharusnya menjadi harga yang perlu dibayar akibat kegagalan mengurus alam sekitar.
Masalah menjadi lebih rumit apabila jerebu berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di luar sempadan negara. Dari 1 hingga 26 Julai lalu, sebanyak 1,081 titik panas dikesan di Kalimantan berbanding 16 di Sarawak. Ini menunjukkan jerebu bukan sekadar soal angin membawa asap, sebaliknya berkait rapat dengan pengurusan tanah, cuaca kering, pembakaran terbuka, penguatkuasaan dan pencegahan kebakaran.
Indonesia sudah mengambil beberapa langkah, termasuk memperhebat pemadaman darat dan udara, rondaan titik panas, pembenihan awan serta tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran. Persoalan lebih besar ialah sejauh mana usaha pencegahan dilaksanakan secara konsisten sebelum api merebak dan asap melintasi sempadan.
Malaysia juga tidak berdiam diri. Operasi pembenihan awan dan kesediaan membantu memadam kebakaran di Indonesia adalah langkah yang wajar dihargai. Namun, tindakan berkenaan lebih kepada mengurangkan kesan, bukannya menyelesaikan punca.
Sebab itu isu jerebu rentas sempadan perlu diberi perhatian lebih serius di peringkat ASEAN. Kerjasama Malaysia dan Brunei untuk mempergiat usaha pemadaman dan pencegahan kebakaran dan membawa isu pencemaran rentas sempadan ke peringkat serantau merupakan langkah tepat.
ASEAN tidak boleh terus mengulangi perbincangan sama setiap kali musim kering tiba. Mekanisme sedia ada mesti diterjemahkan kepada tindakan lebih pantas, berkesan dan mempunyai akauntabiliti yang jelas.
Jerebu bukan sekadar asap yang mengaburi pandangan. Ia membawa kos kesihatan, pendidikan, ekonomi dan produktiviti yang akhirnya ditanggung seluruh masyarakat. Anak-anak yang terpaksa belajar dari rumah, ibu bapa yang terganggu pekerjaan dan peniaga yang kehilangan pelanggan bukanlah pihak yang menyalakan api, tetapi mereka turut membayar harganya.
Persoalan sebenar bukan lagi bila jerebu akan hilang, tetapi bila kita benar-benar mahu menghapuskan puncanya. Selagi tindakan hanya diambil selepas udara tercemar, kita sebenarnya sekadar mengurus akibat, bukan menyelesaikan masalah.
Sudah tiba masanya jerebu dilihat sebagai isu keselamatan alam sekitar dan kepentingan rakyat yang memerlukan tindakan tegas, berterusan serta merentasi sempadan. Jika kita terus menunggu hujan untuk menyelesaikan jerebu, kita mungkin terpaksa menghirup asap yang sama untuk bertahun-tahun lagi.
NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Sampai bila kita perlu hadap jerebu?

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved