Sampai bila hendak dibayangi politik feudal?

Sampai bila hendak dibayangi politik feudal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN geopolitik dunia sudah berubah, namun Malaysia masih terperangkap dan terus dibayangi budaya lama yang dikenali sebagai politik feudal.

Istilah ini merujuk kepada budaya politik berasaskan kesetiaan peribadi, pengaruh keturunan dan kekuasaan golongan elit yang diwarisi turun-temurun.

Di saat landskap politik moden yang seharusnya berteraskan prinsip demokrasi dan meritokrasi, politik feudal masih dapat dikesan dalam pelbagai bentuk sama ada dalam parti politik, pentadbiran mahupun pemikiran masyarakat.

Politik feudal berpaksikan kebergantungan rakyat kepada pemimpin yang dianggap sebagai tuan atau pelindung atau dalam bahasa kiasa politik juga dikenali sebagai war lord.

Dalam sistem seperti ini, pemimpin dilihat memiliki kuasa mutlak sukar dipersoalkan, manakala pengikut bertindak secara taat setia tanpa banyak pertimbangan rasional.

Keadaan ini mengekang budaya politik sihat kerana mema­damkan suara kritikal dan menyuburkan sikap taksub terhadap individu, bukannya terhadap dasar atau prinsip perjuangan.

Dalam konteks semasa, politik feudal sering terserlah apabila jawatan dalam parti atau kerajaan dipertahankan bukan atas dasar kemampuan dan integriti, tetapi disebabkan faktor hubungan kronisme dan pengaruh lama serta lebih buruk adalah kerana terhutang budi.

Pemimpin mengamalkan budaya ini cenderung memelihara kelompok tertentu sahaja, sekali gus menafikan peluang kepada bakat baharu yang lebih berpotensi.

Akibatnya, sistem politik menjadi statik, tidak produktif dan sukar berubah mengikut tuntutan zaman.

Antara punca utama politik feudal ialah mentaliti warisan kolonial menanamkan konsep tuan dan hamba dalam struktur pentadbiran dahulu. Keadaan ini menjadikan rakyat terbiasa tunduk kepada autoriti dan menganggap pemimpin sebagai figura tidak boleh dipersoalkan.

Selain itu, pengaruh budaya patriarki dan sistem kekeluargaan tradisional turut memperkukuh politik feudal apabila jawatan atau pengaruh politik sering diwarisi daripada generasi.

Faktor lain ialah kelemahan institusi politik dan parti yang gagal melahirkan mekanisme pemilihan kepimpinan secara telus dan meritokratik. Dalam banyak kes, jawatan diserahkan kepada mereka yang mempunyai hubungan rapat atau kesetiaan politik yang kuat, bukannya berdasarkan kecekapan dan integriti.

Sikap rakyat sendiri juga menjadi penyumbang apabila masih ramai memilih berdasarkan sentimen, keturunan atau jasa lama, bukan kepada prestasi dan kemampuan calon.

Lebih membimbangkan, politik feudal boleh melemahkan institusi demokrasi apabila rakyat hilang kepercayaan terhadap proses pilihan raya, manakala suara reformasi mudah diketepikan begitu sahaja.

Dalam jangka panjang, budaya ini berisiko mencipta kitaran kepimpinan yang hanya berlegar dalam kelompok sama tanpa pembaharuan lebih bermakna.

Sudah tiba masanya semua pihak sama ada pemimpin, ahli parti dan rakyat menolak amalan politik feudal.

Kepimpinan perlu dinilai berdasarkan keupayaan, ketelusan dan keikhlasan berkhidmat, bukan kerana nama keluarga atau kesetiaan buta. Rakyat pula harus berani menilai pemimpin secara objektif dan tidak terus terikat dengan sentimen lama.

Malaysia memerlukan politik yang matang, terbuka dan progresif. Hanya dengan meninggalkan sisa-sisa politik feudal, negara dapat melahirkan barisan pemimpin berwibawa yang benar-benar berjuang untuk rakyat, bukan demi kekuasaan atau warisan politik sempit.

 

Juani Munir Abu Bakar adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN

×