Sampai bila doktor kita akan lari

Sampai bila doktor kita akan lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kira-kira dua minggu lalu penulis berada di Jabatan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada awal pagi. Ketika itu dilihat pelajar muda Fakulti Perubatan tekun menuju ke dewan kuliah.

Pelajar perubatan senior pula menuju ke hospital dan wad-wad bagi menjalani pembelajaran klinikal yang selalunya bermula pada tahun ketiga. Doktor muda yang melalui proses housemanship menapak ke pintu utama, melalui proses posting dalam pelbagai bidang selama dua tahun yang mencabar.

Pakar-pakar PPUM pula tiba dengan yakin di universiti pengajaran perubatan yang dianggap antara yang terbaik di negara ini.

Pada minggu sama bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr. Adeeba Kamarulzaman mendedahkan setiap tahun, tidak kurang daripada 30 graduan perubatan terbaik universiti itu mencari peluang yang lebih baik di Singapura.

Katanya, punca kehilangan pakar itu kerana kekurangan tawaran kerja untuk penempatan dan ketiadaan laluan jelas untuk pegawai perubatan.

“Kita akan sentiasa mengalami masalah ini, selagi kita tidak serius dalam menangani isu pekerja petugas perubatan di Malaysia,” katanya yang menambah kos melatih setiap pelajar perubatan membabitkan kos hampir RM1 juta.

Jumaat lalu, dalam akhbar The Star, seorang doktor kontrak yang berkhidmat antara 2019 hingga 2022 bernama Dr. Leonard Goh menulis beliau meletakkan jawatan dalam perkhidmatan kerajaan dan akan meninggalkan Malaysia.

Dalam suratnya beliau memulakan setiap perenggan dengan kata-kata: I’m sorry. I’m leaving… (Saya meminta maaf. Saya akan pergi.” Dia memberi alasan keadaan kerja ridiculously inhumane (sangat tidak berperikemanusiaan), birokrasi, ditawarkan jawatan kontrak, tidak ke mana-mana dalam kerjaya di bawah Kementerian Kesihatan dan sistem kesihatan negara yang didakwanya too broken (sudah pecah). Dr. Goh mendapat tempat sebagai felo penyelidik klinikal di Telethon Kids Institute, Perth Children’s Hospital, Australia.

Ini bukan kes terpencil. Perkara sama sudah banyak kali berlaku. Malaysia terus kehilangan rakyat terbijak. Walaupun pengurusan tertinggi kementerian berkata keadaan sama teruk di negara lain, ia alasan bodoh.

Bukankah tugas pemimpin memberi yang lebih baik dan bukan memberi alasan keadaan sama buruk di tempat lain. Jika itu pemikirannya, keadaan kekal buruk. Jika negara berbelanja hampir RM75 bilion untuk ECRL yang tidak diketahui bila akan mendapatkan kembali pulangan pelaburan (ROI), kenapa tidak dibelanjakan tambahan RM3 bilion setiap tahun menambah pegawai perubatan tetap, merendahkan ratio jumlah doktor hospital kerajaan kepada pesakit atau mengurangkan tempoh menunggu pembedahan. Itu perubahan kepada lebih baik.

Kebanyakan kementerian diuruskan pentadbir (administrator) dan bukan pengurus seperti CEO di sektor swasta. Walaupun agensi kerajaan bukan berorientasikan keuntungan, mana-mana pengurus menetapkan pulangan pelaburan. Untuk setiap RM1 dibelanjakan, mesti ada pulangan, selalunya 10 kali ganda.

Hari ini yang ada alasan yang membuatkan mereka yang boleh berfikir meluat. Dalam perniagaan untuk memahami pasaran ialah untuk memahami keperluan orang ramai.

Ketika ini, sistem kesihatan negara tidak memahami keperluan orang ramai kecuali mengulangi alasan lapuk seperti kaset buruk. – UTUSAN

  • Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.