Sama-sama kita cegah, amal dan patuh - Utusan Malaysia

Sama-sama kita cegah, amal dan patuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK ada siapa boleh meramalkan bila pandemik Covid-19 ini akan berakhir. Tanpa vaksin, penularan wabak ini seolah-olah tidak mampu dihalang.

Jumlah kes positif di seluruh dunia menghampiri angka 20 juta orang. Yang terkorban pula sudah lebih 700,000.

Di Malaysia pun kita belum bebas daripada virus pembunuh ini. Setiap hari ada saja kes baharu dikesan. Ketika seperti hampir mencatatkan kes sifar, muncul pula kluster baharu. Puncanya daripada kealpaan kita sendiri. Sikap ambil mudah dan pentingkan diri sendiri punca wabak ini kembali ‘mengganas’. Jika tidak diberi perhatian serius boleh mencetuskan gelombang kedua.

Sudah tentu kita semua tidak mahu kembali ‘dikurung’ berbulan-bulan seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu. Ia akan menjejaskan kehidupan dan ekonomi. Kejayaan PKP membolehkan kerajaan melonggarkan sikit kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan semua orang kembali bekerja dan premis-premis perniagaan dibuka.

Selepas melihat kesan positif PKPB, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan yang mula membenarkan rakyat bergerak bebas. Tetapi syaratnya ialah setiap kita mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan.

Malangnya, masyarakat kita suka ambil mudah dan pentingkan diri sendiri. Yang memakai gelang merah jambu pengawasan Covid-19 pun sesuka hati berjalan-jalan dan lepak di restoran tanpa memikirkan yang mereka berpotensi untuk menyebarkan wabak itu. Akibatnya tercetus kluster Sivagangga.

Oleh itu sempena pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu oleh Perdana Menteri semalam, rakyat Malaysia perlu tanam tekad supaya setiap daripada kita bertindak menjadi barisan hadapan.

Caranya adalah dengan mematuhi SOP dan amalkan norma baharu yang telah ditetapkan.

Tidak ada cara lain untuk perangi Covid-19 melainkan kita sendiri bertindak mematuhi arahan dan bekerjasama dengan kerajaan. Sama-sama kita cegah, amal dan pantau supaya dapat bebas daripada wabak berbahaya ini.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya