Saham naik tetapi harga getah jatuh - Utusan Malaysia

Saham naik tetapi harga getah jatuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONJAKAN permintaan sarung tangan ekoran penularan berterusan pandemik Covid-19 merupakan berita gembira kepada negara. Ia telah meningkatkan saham syarikat pengeluar produk berasaskan getah itu.

Walaupun berhadapan dengan krisis, nilai pasaran modal Malaysia meningkat 41 peratus hingga mencecah AS$379 bilion (RM1.61 trilion), nilai yang hampir menyaingi pasaran modal Singapura.

Tiga syarikat utama yang memacu pasaran modal tempatan ketika wabak Covid-19 masih lagi membelenggu kehidupan rakyat ialah Top Glove Corp. Bhd., Hartalega Holdings Bhd. dan Supermax Corp.

Yang menjadi tanda tanya ialah kenapa peningkatan permintaan terhadap sarung tangan getah itu tidak diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan para pekebun getah?

Ketika pakar-pakar ekonomi meraikan kebangkitan pasaran modal hingga hampir menyamai hasil dorongan kaun­ter-kaunter syarikat pengeluarkan sarung tangan getah, nasib berbeza menimpa pekebun.

Tempias kebangkitan syarikat ini seperti Top Glove yang kini memiliki nilai pasaran RM66.62 bilion langsung tidak sampai kepada golongan pekebun.

Peneroka getah dari Felda Chuping, Perlis misalnya kini bergelut untuk hidup apabila harga bagi sekilogram getah sekerap ketika ini hanya sekitar RM1.80 atau RM1.60 – paling rendah pernah direkodkan sejak 20 tahun lalu.

Pada harga itu, pendapatan mereka sehari hanya sekitar RM30 selepas ditolak upah dan sebagainya. Situasi menjadi lebih buruk apabila kawasan di utara tanah air sekarang ini merupakan musim hujan.

Kalau berdasarkan kepada teori ekonomi, apabila permintaan terhadap getah bagi membuat sarung tangan meningkat, harga bahan mentah juga pasti meningkat.

Nampaknya teori ini tidak terpakai kepada pekebun-pekebun getah. Pemintaan tinggi terhadap sarung tangan getah ekoran Covid-19 tidak mampu meningkatkan pendapatan mereka.

Jaafar Setu, 73, peneroka dari Felda Chuping yang menoreh getah di kawasan seluas 4.25 hektar berkata, hendak dapat RM30 sehari pun susah. Nilai sebanyak itu hanya cukup untuk membeli ikan dan beras.

Para pembuat dasar dan pakar ekonomi tentu lebih arif kenapa pekebun getah tidak terkena tempias daripada permintaan yang tinggi terhadap sarung tangan getah yang dihasilkan di negara ini.
Tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya