Rotan bukan jawapan, pendidikan bermula dari kita

Rotan bukan jawapan, pendidikan bermula dari kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECOH di media sosial mengenai perbincangan agar para guru diberikan semula kuasa untuk merotan pelajar, seperti mana pernah dilaksanakan sekitar 20 tahun lalu.

Namun adakah hukuman rotan merupakan jalan penyelesaian tuntas terhadap segala masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan anak-anak masa kini?

Jawapan mungkin ya atau tidak, tetapi ia bukan penyelesaian tuntas untuk menangani sikap generasi muda yang terbuka kepada teknologi dan internet khususnya media sosial tanpa batasan.

Pelajar pergi ke sekolah bermula 7.30 pagi dan pulang sekitar 1 petang, manakala selebihnya berada di luar ruang pembelajaran kelas. Mungkin ada pergi ke sekolah agama, aktiviti kokurikulum atau tuisyen, sebaliknya selebihnya berada di rumah.

Secara puratanya menunjukkan 70 peratus pembentukan sahsiah dan jati diri anak-anak di rumah dan persekitaran.

Tokoh ilmuan Islam, Imam Ghazali dalam kitab Ilya Ulu­mudin pernah menyebut bahawa didiklah kanak-kanak dengan pelajaran agama, adab sopan, adab makan minum, mencuci badan, berwuduk dan bersembahyang. Ini membuktikan bahawa pendidikan bermula daripada keluarga.

Tidak dinafikan sekolah merupakan asas ilmu anak-anak, sebaliknya pelaksanaannya bermula di luar kelas.

Sekolah menyediakan ilmu akademik dan kemahiran sosial, namun jika asas didikan di luar amat lemah, sukar untuk guru melahirkan pelajar yang berakhlak mulia.

Mengambil contoh, di sekolah para guru mengajar aspek penggunaan media sosial, tetapi di rumah pula, anak-anak diberikan seluas-luasnya gajet untuk melayari video tanpa kawalan. Ini tidak mengira lagi, platform penstriman menyi­arkan filem ganas dan tidak bermoral untuk tonton umum.

Bukan hendak menyalahkan ibu bapa dan masyarakat 100 peratus, tetapi persekitaran terbuka secara tidak langsung telah membentuk nilai-nilai negatif kepada remaja dan kanak-kanak. Ia tidak termasuk lagi, kesan permainan video yang boleh meningkat agresif jika tiada kawalan.

Tanpa disedari, pendedahan anak-anak kepada video tertentu boleh menanamkan pemikiran buruk dalam minda mereka, walaupun ia tidak disiarkan oleh kita sendiri.

Berbalik kepada hukuman rotan, tidak dinafikan ia amat positif dalam mendidik agar anak lebih berdisiplin, tetapi bukanlah tugas guru dalam soal ini sedangkan segalanya berbalik kepada ibu bapa yang berkuasa penuh dalam soal ini.

Sekiranya ibu bapa tidak puas hati anak dirotan, guru-guru pula berdepan tindakan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) yang paling ditakuti warga pendidik kerana ia boleh menjejaskan masa depan kerjaya mereka.

Justeru dalam beberapa isu membabitkan pelajar sekolah, jangan tunding jari sepenuhnya kepada Kementerian Pendidikan dan guru-guru, sebaliknya kita sebagai masyarakat khususnya ibu bapa perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Adakah anak-anak di rumah dipantau sepanjang masa atau kita masing-masing sibuk melayari media sosial sehingga leka tanggungjawab mewujudan suasana kekeluargaan yang penuh kasih sayang dan teladan yang baik di rumah. Jawapanya ada pada diri kita sendiri.

 

Juani Munir Abu Bakar ialah Penolong Pengarang Berita Utusan MalaysiaUTUSAN