Renungi pesanan arwah Zulkiflee… - Utusan Malaysia

Renungi pesanan arwah Zulkiflee…

ISU dakwaan dan siasatan penyelewengan dana diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 makin hari makin memasuki episod baharu.

Dari satu parti ke satu parti politik menjalar siasatan SPRM demi menjejaki baki ratusan juta ringgit yang dikatakan lesap untuk membiayai operasi parti semasa pilihan raya umum ke-15 dan siri pilihan raya negeri terdahulu.

Tak senang duduk dibuatnya si polan si polan terbabit. Serentak itu juga satu dua klip video tular menyaksikan ‘sampul berisi duit undi’ bertebaran dengan lambang parti terbabit terang benderang kelihatan.

Terkedu penulis. Lantas terus ‘tertangkap’ dengan suatu peringatan seorang tokoh pejuang Melayu yang menyentuh perasaan semua. Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad (1927-1964) namanya yang semasa hayat adalah Timbalan Yang Dipertua Agung Pas. Sepanjang 1959 hingga 1964, penglibatan Zulkiflee sebagai pemimpin Pas paling menonjol dan antara ahli parlimen (Bachok) yang terulung pada zamannya.

Zulkiflee menggunakan seluruh peluang yang ada sebagai wakil rakyat bagi menyuarakan pandangannya dalam pelbagai isu masyarakat. Beliau ahli parlimen yang sentiasa berada dalam dewan pada setiap persidangan.

Allahyarham mencatat sejarah apabila berucap selama empat jam di Dewan Rakyat berhubung Rang Undang-undang Malaysia. Dalam sidang Parlimen, beliau mendesak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menarik balik pengiktirafan ke atas Israel kerana kewujudannya menafikan hak rakyat Palestin.

Zulkiflee sering secara tajam di Parlimen menyeru kerajaan wajib berhemah dan berhati-hati menggunakan wang negara. Beliau mahu tidak sesen pun wang negara dikeluarkan secara sia-sia.

Wang negara katanya adalah wang hasil titik peluh rakyat.

Dan penulis begitu ‘tertangkap’ lagi dengan salah satu pesanan Allahyarham berkisar perangai buruk, apatah lagi penyelewengan yang jauh dari sifat rahmah ditolak oleh bangsa.
Ini peringatan arwah buat orang Melayu:

Beriman di mulut hati berlumut
Beriman di lidah hati menyalah
Lidah bercabang langkah menyilang
Tamak harta mabuk dunia
Lupa bangsa lupa akhirat
Kemaruk puji lupa diri

Ke tengah menfitnah ke tepi mendengki
Ke laut menghasut ke darat mengumpat
Ke hulu menipu ke hilir menyindir
Ke atas mengampu ke bawah melapah
Ke gunung menyombong
Ke lurah menyumpah

Berkawan dengan setan
Berguru dengan nafsu
Beraja pada selera
Bersahabat pada maksiat

Dalam musyawarah berbantah-bantah
Dalam berunding tuding menuding
Dalam helah cacat mencacat

Sesama keluarga laga melaga
Sesama kawan makan memakan
Sesama sahabat sebat menyebat
Sesama bangsa paksa memaksa.

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia