Reformasikan agensi-agensi sensitif, elak ‘sistem aniaya’ - Utusan Malaysia

Reformasikan agensi-agensi sensitif, elak ‘sistem aniaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya mahu betulkan kepincangan negara, elak salah guna kuasa, rasuah supaya hoi hoi yah hoi bukan sahaja untuk sebelah sana (pembangkang) tetapi juga di sini (kerajaan).

Oleh itu, saya tidak mahu pilih kasih dan mengarahkan SPRM, PDRM dan Peguam Negara melakukan tugas masing-masing dengan adil.

Begitulah antara janji Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bercakap di sidang Parlimen Selasa lalu. Perkara tersebut disuarakan berdasarkan beberapa isu seperti membabitkan pemberian tender secara rundingan terus selain dianugerahkan kepada anak-beranak dan menantu pemimpin.

Matlamat Kerajaan Perpaduan mendapat reaksi positif dengan ramai memberi komen yang mahu Perdana Menteri agresif dan konsisten `merawat’ sistem pentadbiran negara.

Antara sarananya mereka mahukan jawatan-jawatan sensitif dan ‘berkuasa’ seperti PDRM, SPRM dan Jabatan Peguam Negara direformasikan demi keadilan semua.

Ini kerana agensi-agensi tersebut pernah terkait dengan beberapa kontroversi yang sedikit sebanyak membangkitkan curiga bukan sahaja dalam kalangan orang awam tetapi warga dalaman jabatan-jabatan tersebut sendiri.

Bagi PDRM, seperti isu dibawa Tan Sri Abdul Hamid Bador, bekas Ketua Polis Negara sebelum ini yang tidak setuju Menteri Dalam Negeri menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Tanggungjawab SPP didakwa tidak berfungsi dengan baik dalam mengendalikan kes-kes warga polis yang terpalit dengan tindakan undang-undang. Mengikut prosedur, individu yang dikenakan Kertas Siasatan Tatatertib (KST) perlu diputuskan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.

Namun, apa yang berlaku terdapat KST berlarutan sehingga lima atau enam tahun dan jika mengikut pendedahan Hamid, ia kerana SPP jarang bermesyuarat. Bayangkan jika sistem tersebut terus begitu ia tentu menganiaya kerana individu yang terlibat hilang beberapa keistimewaan apatah lagi kenaikan pangkat.

Isu kartel polis, walaupun Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) merumuskan tuduhan tersebut tidak dapat ditentusahkan, maknanya perkara itu juga tidak semestinya tidak wujud.

Selain itu, keberkesanan PDRM sejak setahun dua ini juga bagaikan `terbantut’. Ini kerana dalam tempoh itu kurang kejayaan besar dihebahkan sehinggakan ada yang `tercari-cari’ di manakah Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika ini?

Kerajaan Perpaduan turut disaran memberi perhatian dalam memulihkan imej SPRM selari dengan hasrat jadikan Malaysia bebas rasuah.

Untuk memastikan objektif itu menjadi kenyataan, SPRM tidak boleh ada ruang untuk dipersenda oleh mana-mana pihak. Isu-isu milikan saham dan kehilangan barang bukti perlu dipadamkan.

Begitu pula dengan Jabatan Peguam Negara, usaha kerajaan memisahkan fungsi jabatan itu dengan pendakwa raya baik kerana selepas ini tidak lagi timbul pendakwaan terpilih, pengguguran kes mengejutkan dan kadangkala ada tindakan dikaitkan berlaku konflik kepentingan.

Harapan Perdana Menteri juga harapan rakyat, semoga Malaysia boleh berubah ke arah lebih baik.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya