Reformasi untuk apa, beri saja kepada yang pakar! - Utusan Malaysia

Reformasi untuk apa, beri saja kepada yang pakar!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap kali bertukar kerajaan, kebiasaannya bertukar jugalah polisi pentadbiran.
Perkataan reformasi juga sering bermain di mulut pemimpin yang baharu. Seolah-olah reformasilah segala-galanya yang penting apabila kerajaan bertukar.

Perkataan reformasi sedap didengar hingga ramai yang terpesona. Sebab itulah pengundi pada pilihan raya umum akan memilih parti yang menjanjikan reformasi. Ia lebih kurang seperti janji untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pentadbiran yang ada.

Reformasi bagi pengundi adalah harapan masa depan mereka untuk kehidupan yang lebih baik.
Apakah reformasi suatu yang baik? Apakah ia juga bermakna sistem pentadbiran dan polisi yang lama tidak elok dan perlu diubah secepat mungkin. Apakah rakyat lupa sistem lama itulah yang mereka hidup bersamanya selama ini.

Dalam sistem bernegara, sesuatu yang berlaku itu seperti keamanan dan kemakmuran bukan datang dengan sendiri tetapi hasil daripada perancangan kerajaan dan sistem pentadbiran yang ada.

Polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan itu kebiasaannya datang daripada perancang dan pemikir serta mereka yang pakar dalam bidang berkenaan. Daripada merekalah datang input dan pelaksanaan. Pemimpin politik hanya mengetengahkannya dan mendapatkan sokongan daripada rakyat untuk menjayakan sesuatu polisi atau idea demi kemakmuran negara.

Tiada salahnya polisi lama itu kerana segalanya telah dirancang sebaik mungkin oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan. Baik dalam bidang ekonomi, pendidikan, keselamatan, sukan dan pelbagai bidang lain.

Jika sistem itu terbukti menyebabkan rasuah berleluasa, pembaziran dana awam dan tidak adil kepada semua pihak, maka ia sememangnya patut ditukar kepada sistem yang lebih baik.

Sistem pendidikan misalnya sememangnya dirancang oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut yang kebiasaannya melibatkan guru, pensyarah dan juga para pemikir. Sebab itu tidak adil sekiranya bertukar Menteri Pendidikan maka bertukar kurikulumnya.

Menteri datang dan pergi tetapi pemikir dalam bidang pendidikan masih orang yang sama atau mereka yang sudah lama dalam bidang berkenaan. Mereka amat memahami sistem itu dan kesan kepada peme­gang taruh iaitu anak-anak kecil hinggalah kepada pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Yang lebih penting, sesuatu kurikulum itu dirancang untuk tempoh tertentu dengan harapan mencapai matlamat yang disasarkan.

Sebab itulah kalau ada reformasi mahu dilakukan pada sistem itu, pastikanlah ia dilaksanakan sebaik mungkin dan melibatkan mereka yang benar-benar pakar.

 

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia