Realistik, cekap hadapi 2023

Realistik, cekap hadapi 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAIMA apa pun, anggota-anggota pentadbiran dalam kerajaan sehingga ke peringkat menteri dan timbalan menteri mesti tampak cekap dan berwibawa.

Tak kiralah masih bertatih atau ada kalangannya tidak perlukan ‘tongkat’ dengan bijak mampu bawa diri, mereka yang menganggotai Kabinet perlu terampilkan diri dari awal tahun baharu 2023 ini lagi. Jangan bebankan bos pula untuk menjawab kerenah dan persoalan isu-isu yang masih membelenggu kementerian masing-masing.

Isu-isu berkisar kos hidup rakyat, kepenggunaan, pendidikan dan kesihatan perlukan komitmen bukan alang kepalang. Mana-mana menteri yang berusaha meninjau sendiri masalah rakyat tanpa kelibat dikesan kehadirannya, syabas diucap kepada mereka. Jika berjiwa besar, belajarlah lebih lagi dari bekas menteri senior kaya pengalaman.

Dalam kilas balik atau menjawab tuduhan dan tohmahan, sebenarnya cukup dengan menggunakan ayat dan perkataan spontan. Biar catchy dengan fakta yang digarap tahap tinggi. Menusuk terus ke jiwa, bukan setakat tuju ke kepala.

Ada ketika boleh belajar juga dari ‘badut-badut politik’ yang ‘cekap’ bermain ‘sarkas’ tohmahan. Kalau didengar sekali, wow boleh goncang pendirian. Tapi apabila diteliti sedalamnya, akan terjawab segala autanya.

Kalau dimulakan jawapan dengan angka, statistik dan peratusan, ada kala meraban juga untuk diproses otak kerana angka sebenarnya boleh digunakan sebagai penguat hujah – bukannya mendominasi topik penjelasan.

Ada ketika komen di media sosial boleh menjadi penyelesaian isu besar yang sebenarnya tidak rumit, berada depan mata. Dan ba­nyak kali juga kita ‘terpana’ dengan kandungan tindak balas sesama warganet ketika memperkatakan topik berkisar ekonomi negara.

Contoh:

Kata A: Kilang pun banyak tutup.

Jawab B: Man, kilang tutup kat Bangi memang ada tapi tak ba­nyak…diganti dengan kedai fesyen besar-besar seperti Jakel, Ariani, Fareeda, (telekung) Siti Khadijah.. di situ sahaja…(ada) pasar raya baharu seperti Parkson Evo Mall, hospital swasta baharu seperti Hospital Pakar An-Nur Hasanah, hotel baharu seperti Tenera dan Sherwood Gateway Hotel Bangi yang menyediakan peluang-peluang kerja…(cuma) nak dengan tak nak kerja saja Man…”

Cabaran Malaysia di tahun baharu ini cukup getir, khusus untuk mana-mana Perdana Menteri pun yang melangkah masuk ke Putrajaya pasti ada cabarannya tersendiri.

Bila beliau sudah melantik menteri, bermakna kepercayaan telah disandarkan. Pada masa lalu, laluannya cukup berliku sebelum boleh menganggotai Kabinet.

Perlu naik timbalan menteri dahulu, suatu aperantis sebelum pelantikan menteri penuh.

Begitupun ada individu terpilih dilantik terus menjadi menteri tanpa melalui proses pembelajaran. Meskipun kes terpencil, namun tidak ditolak dalam politik vernakular, ia benar-benar tuah politik atas dasar Perdana Menteri suka pada anda dan anda diberi jawatan itu.

Tapi realitinya jua, tanpa memiliki kualiti yang diperlukan untuk memimpin dan berkomunikasi dengan baik, kerjaya dalam arena politik ini tidak akan bertahan lama – walaupun anda disukai Perdana Menteri. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.