RCI Tabung Haji: Henti tuding jari - Utusan Malaysia

RCI Tabung Haji: Henti tuding jari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU dilihat pada perkembangan mutakhir berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), adakah kita benar-benar mahu mencari punca kelemahan institusi atau sekadar mencari siapa yang boleh dipersalahkan?

Sejak laporan RCI didedahkan, pelbagai pihak tampil dengan hujah masing-masing. Ada yang me­ngaitkannya dengan pentadbiran terdahulu, ada yang menu­ding kepada pengurusan tertentu dan tidak kurang juga yang menjadikan dapatan itu sebagai modal untuk menyerang lawan politik.

Akhirnya, isu TH yang sepatutnya menjadi perbincangan mengenai tadbir urus, amanah dan pengurusan dana umat Islam berubah menjadi medan tuding-menuding.

Perdebatan awam seolah-olah tertumpu kepada soalan siapa paling bersalah, bukannya apa yang perlu dilakukan supaya kelemahan sama tidak berulang.

RCI bukan diwujudkan untuk menyediakan peluru kepada mana-mana pihak. Tujuan utamanya adalah mencari kebenaran, mengenal pasti kelemahan dan mengemukakan cadangan supaya kesilapan yang berlaku dapat diperbaiki.

Hasilnya TH kini berupaya memberikan agihan keuntu­ngan tinggi iaitu 3.1 peratus pada 2023, 3.25 peratus (2024) dan 3.5 peratus (2025).

TH bukan sekadar sebuah institusi kewangan biasa. Ia mempunyai kedudukan yang amat istimewa dalam kehidupan umat Islam di negara ini. Jutaan pendeposit meletakkan wang mereka di situ dengan harapan ia diurus secara amanah, profesional dan berhemah.

Apabila berlaku kelemahan dalam pengurusan, per­soalannya tidak sepatutnya berhenti pada siapa yang memegang tampuk kuasa ketika itu.

Persoalan lebih besar adalah bagaimana perkara tersebut boleh berlaku? Siapa yang sepatutnya me­ngawasi? Adakah mekanisme semak dan imbang gagal berfungsi? Adakah keputusan dibuat tanpa mengambil kira kepentingan jangka panjang pendeposit?

Bagaimanapun, ini bukan bermakna mereka yang didapati melakukan salah laku boleh dilepaskan begitu sahaja.

Jika laporan RCI mengenal pasti individu yang me­lakukan kesalahan atau salah laku, mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Tiada siapa patut diberikan imuniti ha­nya kerana pernah memegang jawatan tinggi, mempunyai kedudukan tertentu atau berada dalam lingkungan kuasa politik.

Prinsipnya mudah. Jika benar berlaku pelanggaran undang-undang, tindakan mesti diambil. Jika terdapat wang yang perlu dikembalikan, usahakan mendapatkannya semula. Jika ada keputusan yang menyebabkan kerugian kepada institusi, perkara itu mesti disiasat dan dipertanggungjawabkan.

Namun, proses tersebut hendaklah dilakukan berdasarkan bukti dan undang-undang, bukannya hukuman melalui persepsi atau gelanggang politik.

Jangan sampai kita hanya sibuk mencari pesalah tetapi gagal membaiki lubang yang membolehkan masalah sama berlaku lagi.

Lebih malang jika laporan RCI dijadikan senjata politik. Satu pihak menggunakan dapatan untuk me­nunjukkan betapa buruknya pentadbiran terdahulu. Satu lagi pihak mencari ruang untuk mempertikaikan kerajaan semasa. – UTUSAN

Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia