Rasuah, tipu dana awam semakin melata

Rasuah, tipu dana awam semakin melata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Aku makan sikit. Bos, menteri makan lagi banyak.”

Itu antara dialog pemakan rasuah, penipu dana awam dan mereka yang terbabit dengan perniagaan haram bagi menghalalkan perbuatan salah yang dilakukan.

Daripada ahli politik,  pemegang jawatan di peringkat bawahan hingga ke paling tinggi jawatannya dalam sesebuah organisasi sama ada perkhidmatan awam atau swasta, mereka yang terbabit sanggup melakukannya kerana gelap mata dan hilang pertimbangan bagi memenuhi kehendak peribadi. Bagi mereka, berani buat berani tanggung!.

Jumlah wang yang terlibat tidak sedikit malah perbuatan itu berulang-ulang dilakukan kerana rakus, tidak pernah cukup dan mungkin juga tiada yang menegur jenayah dilakukan.

Rasuah, penipuan dana awam sudah melata di semua tempat, ia perlu dihentikan. Semua orang tahu betapa ruginya negara dan rakyat ekoran berlakunya jenayah tersebut. Jumlahnya mencecah bilion ringgit. Jika kerajaan rugi, rakyat pula terpaksa menanggung akibatnya. Dana yang sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat mereka akhirnya hilang begitu sahaja.

Negara sudah mempunyai perundangan mencukupi untuk membanterasnya tetapi kenapa jenayah kewangan terus berlaku?  Seolah-olah banyak peluang yang terbuka dalam organisasi berkenaan untuk melakukan jenayah tersebut.

Seperti pengalaman seorang usahawan yang mendedahkannya di media sosial apabila datang ke sebuah agensi kerajaan untuk menawarkan perkhidmatan teknologi dan maklumat (IT) dengan kos RM100,000 tetapi kerana syarikatnya tiada Kod Bidang berkaitan, maka dia terpaksa melupakan hasrat itu.

Namun pegawai agensi berkenaan menghubunginya semula dan mencadangkannya menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat lain yang mempunyai Kod Bidang berkenaan. Akhirnya kos RM100,000 sudah menjadi lebih sekali ganda sebagai imbuhan untuk syarikat yang digunakan dan juga pegawai agensi tersebut.

Sebenarnya banyak perbelanjaan kerajaan boleh dijimatkan sekiranya tidak berlaku salah guna kuasa, menggunakan pihak ketiga sebagai orang tengah dan kewujudan kakitangan awam yang seperti mahu mengawal projek-projek kerajaan untuk mendapatkan imbuhan.

Sebab itu apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agresif dalam membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan hampir setiap minggu sama ada untuk direman bagi membantu siasatan atau untuk pendakwaan, ia suatu yang sepatutnya disambut baik.

Malah dengan kenyataan tegas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kakitangan awam menegur pegawai atasan atau menteri yang melanggar peraturan, perang membanteras rasuah sepatutnya diperhebatkan lagi.

Selain teguran, mereka juga sewajarnya membuat aduan kepada pihak berkenaan tentang salah laku yang dilakukan. Cumanya, bagaimana cara terbaik untuk semua orang boleh membuat aduan tanpa rasa bimbang keselamatan dan kebajikan mereka terjejas, itu wajar difikirkan. – UTUSAN

  • Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

 

 

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya