Rasuah sudah jadi budaya kita? - Utusan Malaysia

Rasuah sudah jadi budaya kita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Januari lalu mahkamah China telah menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas pengerusi firma pengurusan aset milik kerajaan, Huarong Asset Management Co., Lai Xiaomin yang mengaku bersalah atas tuduhan rasuah AS$276.7 juta.

Itu adalah hukuman paling berat dikenakan kepada pesalah rasuah dalam usaha China memerangi gejala tidak bermoral itu yang menyebabkan kerugian serius bagi kepentingan negara.

Walaupun keputusan itu dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi manusia di seluruh dunia, Parti Komunis China pimpinan Presiden Xi Xinping langsung tidak bertolak ansur. Sikap mereka tegas terhadap jenayah terbabit terutama dalam kalangan pegawai kerajaan dan eksekutif korporat, dengan sehingga kini sudah lebih sejuta orang telah dihukum.

Berdasarkan kepada angka yang dikeluarkan oleh Yayasan Dui Hua, pada 2018 sebanyak 2,000 orang telah dihukum mati kerana rasuah. Angka itu jauh lebih lebih rendah berbanding 5,000 pada 2010 dan 12,000 pada 2002.

Bagi kerajaan China, hukuman mati ke atas pesalah rasuah merupakan satu bentuk amaran kepada rakyatnya supaya menjauhi jenayah itu.

Mungkin perkara yang sama boleh ditiru oleh kerajaan Malaysia dalam usaha membendung gejala rasuah yang dilihat semakin menjadi-jadi sekarang. Saban hari ada sahaja jenayah rasuah dibongkar. Daripada yang bernilai ratusan ringgit hingga kepada berbilion ringgit. Boleh dikatakan semua peringkat manusia dalam Malaysia ini terlibat dalam rasuah.

Daripada kerani pejabat sampai kepada yang berjawatan pengarah, ketua pengarah, pemimpin organisasi, tokoh korporat serta pemimpin politik. Ia memberi gambaran seperti di Malaysia ini adalah syurga rasuah. Tidak ada yang tidak terlibat dengan rasuah. Asal ada kuasa sikit mereka mesti menyalahgunakannya untuk rasuah.

Hal itu boleh dilihat dengan mata kepala kita sendiri apabila setiap hari berbondong-bondong pegawai kerajaan, anggota pasukan keselamatan, pegawai penguat kuasa dan pelbagai lagi diheret ke mahkamah.

Malah bagi rakyat marhaen, persepsi mereka setiap kali melihat ada pegawai penguasa menunggu di tepi jalan menahan para pesalah sama ada kesalahan lalu lintas dan sebagainya, perkara pertama yang keluar dari mulut ialah mereka ‘cari duit kopi’.

Apa maksud duit kopi itu? Ia bukan rahsia. Setiap daripada kita tahu perkara itu. Maknanya apa? Rasuah sudah menjadi darah daging dalam masyarakat kita. Sudah menjadi budaya dan amalan harian. Lebih menyedihkan majoriti yang terlibat itu adalah beragama Islam.

Mungkin Malaysia boleh meniru China memperkenalkan hukuman mati kepada pesalah rasuah. Ia bukan jaminan jenayah itu dapat dilenyapkan dari muka bumi ini, tetapi sekurang-kurang ia mendatangkan ketakutan kepada para pengamal tegar rasuah ini.

Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya