Ramai ‘panas hati’ lepas barang mahal mahu GST pula - Utusan Malaysia

Ramai ‘panas hati’ lepas barang mahal mahu GST pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika rakyat sedang `panas hati’ dengan isu harga barang melonjak, timbul pula ura-ura kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Susulan itu, ramai kumpulan anti-GST membuat seloroh bahawa jika benar GST dikembalikan maknanya individu paling gembira sudah tentu Datuk Seri Najib Tun Razak.

GST diperkenalkan Ahli Parlimen Pekan itu sekitar tahun 2015 sebelum dihapuskan kerajaan Pakatan harapan pada tahun 2018. Menerusi GST tanpa mengira siapa anda, wajib membayar cukai kepada hampir semua barang yang dibeli.

Jumlah cukai bergantung kepada kadar GST ditetapkan dan dahulu enam peratus.
Semasa kali pertama GST mahu dilaksanakan kerajaan menjanjikan bahawa pelaksanaan cukai tersebut akan menyebabkan kebanyakan barang menjadi lebih murah.

Namun, sebaik GST menjadi kenyataan, rakyat keluh-kesah kerana bukan sahaja harga barang tidak turun tetapi dibebankan lagi dengan caj GST. Sebut sahaja bermula dari barang makanan seperti coklat hingga servis kereta Perodua Viva ada sahaja GST dalam resit.

Bagi peminat barang kemas juga sakit hati apabila pembeli juga perlu membayar GST. Begitulah imbauan semula zaman GST dan sedikit sebanyak menjadi punca kerajaan BN tumbang pada PRU14.

Beberapa hari ini sekali lagi GST timbul dan motif utama untuk mengisi kantung kerajaan yang hilang pendapatan RM40 bilion setahun. Kononnya menerusi kutipan GST, kerajaan akan salurkan semula duit tersebut kepada rakyat.

Mengimbau semula prestasi ekonomi negara selepas dilanda pandemik Covid-19 kira-kira dua tahun, GST sangat diperlukan. Terlalu banyak perbelanjaan kerajaan dalam tempoh sukar tersebut. Tidak setakat peralatan untuk berperang dengan Covid-19 tetapi bantuan demi bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat wabak itu.
Lebih membebankan hujung tahun lalu beberapa negeri seperti Selangor dilanda banjir besar. Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila sekali lagi situasi tidak terjangkau memerlukan perbelanjaan besar.

Namun waima apa sekali pun, pengumuman untuk mengembalikan GST ketika ini tidak kena masa dan boleh diibarat seperti orang sedang luka dicurahkan lagi garam.

Tinjauan di ruang komen di media sosial, ramai yang menghentam GST berbanding yang menyokong.
Daripada isu GST diheret pula dengan masalah-masalah lain antaranya ada yang berusaha membilang menteri mana yang ketika ini sedang berada di luar negara yang kemudian dikaitkan dengan membazir duit cukai rakyat.

Bab ayam pun tidak terkecuali apabila netizen bagai mengejek kerajaan didakwa gagal menyelesaikan isu tersebut. Contoh harga siling ayam ditetapkan RM8.90 sekilogram tetapi yang dijual sampai RM12 sekilogram.

Jadi ideal GST ketika ini sangat tidak kena masa kerana sukar rakyat membuat pertimbangan yang betul ketika mereka sedang bergelut dengan kos sara hidup yang terus menggila.

Silap hari bulan, gara-gara GST, rakyat yang semakin menerima BN ketika ini boleh buat pusingan U menolak parti itu pada PRU15.

 

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.