Rakyat muak dengan ‘langkah’ politik

Rakyat muak dengan ‘langkah’ politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKATAAN ‘Langkah’ menjadi terlalu sinonim dengan politik negara ini. Sejak sekumpulan ahli politik berkumpul di sebuah hotel di tepi Lebuhraya Persekutuan di Petaling Jaya, yang memulakan Langkah Sheraton, setiap perjumpaan menjadi ‘langkah politik’.

Kini ada ‘Langkah London’ dan terbaharu ‘Langkah Kinabalu’ yang membabitkan Sabah. Malaysia mungkin meme­gang rekod negara paling banyak berpolitik di dunia. 365 hari dihabiskan untuk menguasai kerajaan pusat atau negeri.

Sejak PRU15 perkara sama terus berulang. Keputusan yang tidak memberi satu parti majoriti terbesar menubuhkan kerajaan menyebabkan ada ruang kepada pemesongan kiblat. Kerajaan Perpaduan yang berusia kurang beberapa bulan juga sentiasa berdepan risiko penukaran angin bergantung kepada situasi politik parti.

Pada masa sama, parti-parti yang gagal membentuk kerajaan masih menghambur kata-kata seperti kerajaan di luar tabii, perkahwinan tidak sah dan pelbagai lagi retorik bagi memainkan sentimen kebencian. Sah apabila dia lakukan, haram bagi orang lain.

Ada masih menaruh harapan perubahan kerajaan akan berlaku seperti apabila negara mendapat tiga perdana menteri selepas PRU14. Kematangan politik di negara tidak berbeza dengan negara dunia kelas ketiga.

Di Amerika Syarikat, kebanyakan ahli politik yang tewas dalam pilihan raya akan menelefon saingan masing-masing untuk mengucapkan tahniah kepada pemenang dan keluarga.

Mereka akan umum menerima kekalahan dan berterima kasih kepada penyokongnya dan keluarganya. Pada akhirnya, yang tewas akan menggesa supaya usaha harus ditumpukan bagi menjadikan America Great semula.

Kebanyakan Presiden Amerika ketika diumumkan sebagai pemenang akan menyebut proses penyatupaduan atau healing process harus bermula untuk negara itu kekal mendominasi dunia.

Di Indonesia, kepemimpinan Jokowi yang kekal sebagai Presiden selama dua penggal membolehkan negara itu menjadi antara kuasa ekonomi dunia. Ini negara yang mempunyai 274 juta penduduk dan merangkumi 18,110 pulau. Metropolitan Jakarta sahaja ada 32 juta penduduk di kawasan seluas 6,400 km persegi.

Kita hanya ada 34 juta penduduk, satu Semenanjung dan 878 pulau tetapi kekecohan politik mengalahkan negara pa­ling ramai penduduk di dunia. Negara akan memasuki pe­ringkat sukar ekonomi. Beberapa negara barat akan menca­tatkan kemelesetan yang secara langsung akan menjejaskan Malaysia.

Kos menjalankan perniagaan akan naik kerana perunda­ngan buruh dan perbelanjaan isi rumah sekali gus akan meningkat. Pendapatan kerajaan terhad ketika pada masa sama menanggung kos mengurus kakitangan awam mencecah RM100 bilion, kos subsidi berbilion serta hutang negara RM1 trilion.

Rakyat muak dengan pelbagai ‘langkah’ politik. Langkah paling penting ialah “langkah ke hadapan” dan kepada yang tidak dapat melakukannya, lebih baik ‘langkah ke belakang’ dan bergembira menikmati pencen ahli Parlimen atau menteri yang dibayar rakyat. – UTUSAN

  • Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya