DI dalam gerabak MRT yang sesak tempoh hari, seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an tiba-tiba menegur dan bertanya kenapa saya kelihatan murung. Teguran itu kemudiannya membuka ceritanya sendiri yang turut mengaku dia juga sedang menanggung kesedihan yang lebih berat.
Katanya, dia mahu bergegas pulang ke Kedah selepas menerima berita sahabat baiknya meninggal dunia akibat membunuh diri kerana tekanan kewangan.
Dalam perjalanan singkat itu, wanita tersebut turut berkongsi kisah hidupnya. Dia merupakan lulusan akademik tinggi, namun menganggur hampir dua tahun sebelum mendapat pekerjaan. Sebelum itu, dia terpaksa berhenti kerja kerana keguguran kandungan akibat tekanan dan keletihan berulang-alik jauh setiap hari.
Ini bukan cerita rekaan. Ini kisah benar yang sedang berlaku dalam kehidupan rakyat hari ini, khususnya golongan belia.
Hakikatnya, ramai anak muda kini hidup dalam tekanan yang tidak terlihat di media sosial. Mereka memiliki pendidikan tinggi, tetapi peluang pekerjaan tidak setimpal. Mereka bekerja, tetapi gaji tidak cukup untuk hidup dengan tenang.
Laporan terkini oleh Bank Dunia mendedahkan lebih satu pertiga pekerja berpendidikan tinggi di negara ini terperangkap dalam pekerjaan di bawah tahap kelayakan mereka.
Lebih membimbangkan, kumpulan graduan ini berdepan ‘penalti gaji’ apabila memperoleh pendapatan hampir 49.3 peratus lebih rendah berbanding rakan sebaya yang bekerja dalam bidang setara dengan kemahiran mereka.
Dalam satu kajian lain pula, lebih satu juta belia di negara ini berada dalam kelompok tidak dalam pendidikan, pekerjaan atau latihan (NEET).
Angka itu cukup membimbangkan kerana ia menggambarkan sebahagian besar generasi muda sedang hilang arah, terpinggir dan tidak mempunyai tempat dalam ekosistem ekonomi negara.
Situasi itu belum dikira lagi tentang masalah sosial yang semakin meruncing. Mereka sudah sampai ke tahap sanggup membunuh hanya kerana cinta tidak berbalas. Isu tekanan mental semakin kerap melibatkan golongan muda.
Namun, dalam kebimbangan krisis sosial dan keadaan rakyat sedang bergelut untuk hidup, ada pemimpin politik yang lebih sibuk menjatuhkan lawan. Ada yang ghairah membina parti baharu, manakala rakyat terus terbeban dengan kos hidup dan masa depan yang semakin kabur.
Negara sepatutnya dipimpin dengan idea, dasar dan penyelesaian yang mampu memulihkan harapan anak muda. Malangnya, apa yang sering dipaparkan hari ini ialah perebutan kuasa politik yang tidak berkesudahan.
Perlu diingat, lebih 7.58 juta pemilih baharu sejak pelaksanaan pendaftaran automatik 18 tahun ke atas bakal menentukan landskap politik negara menjelang PRU16.
Tradisinya, setiap kali pilihan raya, parti-parti politik berlumba-lumba menawarkan manifesto indah, menjanjikan bulan dan bintang demi meraih sokongan anak muda. Namun, selepas memperoleh kuasa, pelbagai alasan diberikan apabila janji gagal dilaksanakan kononnya manifesto tidak realistik atau keadaan ekonomi tidak mengizinkan.
Akhirnya, siapa yang rugi? Jawapannya tetap rakyat. Di saat ahli politik terus berebut kuasa, ramai rakyat sebenarnya sedang bertarung untuk terus hidup. – UTUSAN
Maisarah Sheikh Rahim ialah Pemangku Pengarang Berita Utusan Malaysia
Rakyat bergelut hidup, pemimpin berebut kuasa

Media Mulia TV
Copyright © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved