Que sera sera

Que sera sera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

zul jalil mindaQUE sera sera asalnya dari bahasa Sepanyol yang popular selepas dijadikan lirik lagu pada 1956 oleh penyanyi Amerika Syarikat, Doris Day.

Bait-bait lagu itu terkandung makna cukup mendalam. Que sera sera maksudnya, “apa yang terjadi, terjadilah”. Pendek kata, ‘Masa hadapan di luar kawalan”.

Kalau dikaitkan dengan pemimpin beberapa parti politik utama tanah air, pastinya berkisar  laluan penuh onak berduri diharungi mereka  demi kemuncak atau tersadung jatuh hari ini.

Que sera sera, lagu bernada anak-anak dan ringkas. Tetapi menghayatinya membuatkan sesiapa pun dalam dunia politik harus mengingatkan diri sendiri keperluan menjalani hidup sebagai manusia  bersahaja – manusia seutuhnya dan manusia yang baik. Yakni, tetap melangkah dan menerima apapun yang terjadi nanti.

Walau apa lagu untuk menginspirasi – que sera sera kah, waima falsafah itu, ini pun – kita seharusnya perlu cukup insaf. Dalam politik bukan hanya kebolehan yang ‘menjenterakan’ seseorang ke atas. Nasib pun main peranan. Larry King, pengulas media Barat yang terkenal ada menyatakan: Those who discard luck as a factor in their life attainment are not realists.

Terdapat ramai personaliti pada masa lalu mempunyai peluang dan keupayaan untuk menjadi pemimpin muktamad. Tetapi disebabkan Dia tidak mengizinkan, mereka terpaksa berhenti pada satu tahap dalam kerjaya politik dan akhirnya tergolong dalam kumpulan biasa.

Que sera  sera kini tertumpu pada tarikh bubar Parlimen.  Apa sahaja dicakap atau diumumkan, termasuklah pembentangan Bajet 2023 diawal tiga minggu, konon semuanya  berkait bab ‘bubar’.

Namun, Perkara 55 (1) dan 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan menegaskan hanya dua orang boleh memutuskan bubar Parlimen, sekali gus pilihan raya umum  boleh berlaku.

Orang pertama adalah Perdana Menteri. Jika Perdana Menteri tidak minta pembubaran awal, Dewan Rakyat hanya akan dibubarkan hingga habis penggal – lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama 16 Julai 2018.  Tanpa permintaan beliau, Tuanku Agong pun tidak boleh membubarkannya.

Orang kedua ialah Seri Paduka. Baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk sama ada perkenankan permintaan Perdana Menteri itu.

Perkara 55 (1) tidak mengenakan sebarang syarat, waktu dan keadaan bagi Perdana Menteri untuk meminta pembubaran. Namun Perkara 43 (4) meletakkan permintaan itu sebagai salah satu dari dua pilihan beliau “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Pilihan yang lagi satu adalah meletak jawatan, sekali gus memberi laluan untuk seorang ahli parlimen lain yang boleh mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

Waima apapun, kuasa pengimbang politik Malaysia tetap ada pada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Perkara 43(2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat Yang di-Pertuan Agong seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat.

Dengan pentadbiran sepenggal cuma  setahun sahaja lagi, jawapan kepada segala penamat drama politik hari ini atau tarikh bubar parlimennya atau ‘sejauh mana mampu bertahan’ –  hanyalah  que sera sera. –UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

 

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya