Pusat tahfiz ‘ditelan’ sisi gelap Covid-19 - Utusan Malaysia

Pusat tahfiz ‘ditelan’ sisi gelap Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS ‘menyerang’ banyak sektor, ada yang terpaksa ditutup malah ada yang masih ‘nyawa-nyawa ikan’, penularan Covid-19 yang disusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meluaskan ‘sisi gelapnya’ apabila mula ‘mengganggu-gugat’ institusi tahfiz negara.

Menurut laporan, dianggarkan 140 pusat tahfiz di seluruh negara ‘gulung tikar’ kerana tak mampu menampung kos pengurusan, kesan daripada pandemik Covid-19.

Beribu-ribu tenaga pengajar dan pelajarnya terjejas. Malah ada dalam kalangan guru-guru tahfiz ini terpaksa ‘melangkaui’ ruang tahfiz dengan mencari kerja lain bagi menampung kehidupan.

Sangat dahsyat penangan Covid-19 ini sehingga ‘meresap’ memburukkan situasi semasa institusi tahfiz, yang bukan sahaja melahirkan penyambung generasi al-Quran, ada juga yang cemerlang dalam akademik, seterusnya mengisi pelbagai sektor pekerjaan profesional.

Memetik kenyataan Bendahari Agung Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Pertama), Datuk Adnan Hashim, jumlah itu dijangka meningkat kerana ‘duit poket’ pusat-pusat tahfiz semakin kronik.

Hal demikian kerana kebanyakan pusat tahfiz ini bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai termasuk menggaji guru-guru.

Menurut Adnan: “Kita bimbang, masa depan institusi yang selama ini melahirkan generasi berkualiti, berakhlak dan berilmu bakal gelap jika situasi sekarang tidak diatasi”.

Cerita beliau itu merupakan isu yang diketengahkan akhbar ini, berlegar mengenai nasib pusat tahfiz yang kekurangan dana akibat tidak dapat beroperasi sepanjang ‘serangan’ Covid-19.

Bukan hanya pusat tahfiz, secara meluasnya, rumah-rumah transit mualaf seperti di Ranau, Sabah juga menempatkan anak-anak muda yang mahu mendalami Islam.

Begitu juga dengan sekolah-sekolah pondok yang seangkatan dengan pusat tahfiz, yang bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar atau sumbangan pihak luar. Tak kurang juga, guru-guru mengaji yang mengambil upah mengajar anak-anak belajar al-Quran di rumah atau di surau, atau juga di ruangan kecil di masjid. Nasib mereka juga sama.

Jika hilang satu demi satu ‘permata’ negara ini, apa akan jadi agaknya kepada nilai-nilai ilmu dalam jiwa masa depan anak muda. Ilmu keagamaan ini berterusan, bukan hanya di sekolah semata-mata.

Kepada kerajaan, di bawah kepemimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hadirkanlah jiwamu, menyelami nasib rakyat ini. Mari kita bersama saling membantu.

 

Metra Syahril Mohamed ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya