Pulihkan jiwa guru tawar hati - Utusan Malaysia

Pulihkan jiwa guru tawar hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini antara yang menarik dan mendapat tempat di hati pembaca ialah jumlah guru mohon bersara awal hampir menyamai yang bersara wajib.

Bukan hanya cikgu tetapi ramai orang biasa turut bersetuju dengan pendedahan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin bahawa perkara itu memang fakta dalam kelompok warga pendidik.

Sebenarnya, trend tersebut sudah lama dihidu tetapi masalah sindrom penafian pihak-pihak berkaitan institusi berkenaan menyebabkan ia tidak terdedah sehingga berkembang menjadi barah.

Namun, pada 21 Mac lalu, tidak ada apa lagi patut disembunyikan apabila Radzi sendiri tampil mendedahkan pola pesaraan dalam kalangan guru.

Radzi kemudian memaklumkan kementerian sedang membuat perincian berhubung isu tersebut termasuk mencari punca kepada cikgu tawar hati untuk terus menabur bakti.

Bagi yang pernah menyelami nurani guru mungkin menerusi anak-anak, jiran dan sanak-saudara, akan faham kenapa guru mahu bersara awal lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.

Segelintir mereka kini menganggap profesion guru bukan sahaja sudah tidak seronok tetapi ada yang mendakwa hampir mahu jadi gila, kemurungan, rambut gugur, terpaksa cari pakar psikologi manakala emosi tidak menentu ketika bersama keluarga.

Mungki bilangan guru bermasalah seperti itu belum dianggap ramai tetapi jika terus dibiarkan nescaya ia akan membentuk kumpulan lebih besar.

Menyelami hati ke hati dengan beberapa guru, rupanya bukan sekadar pening menguruskan kerenah pelajar dan ibu bapa tetapi tekanan lebih hebat turut datang daripada gaya pentadbiran sekolah itu sendiri.

Bayangkan, ketika pandemik sebegini pihak pentadbiran sekolah seolah-olah beranggapan guru terlalu seronok apabila hanya perlu mengajar menerusi PdPR.

Tolonglah, untuk tahun pertama dan kini memasuki tahun ketiga, sesi PdPR langsung tidak menggembirakan bukan sahaja dari segi pengendalian kelas online tetapi untuk memaksa pelajar menyertai sesi itu hampir mustahil. Lebih dibenci guru apabila pihak pentadbir didakwa tergamak menghantar `pengintip’ memasuki kelas PdPR.

Tambah menyusahkan apabila guru-guru dipaksa membuka berbelas grup WhatsApp kononnya untuk melancarkan sesi PdPR.

Guru-guru zaman ini juga tidak ubah seperti kerani apabila sentiasa perlu mengisi pelbagai data, membuat Pantaksiran Bilik Darjah (PBD), Analisis Kandungan Asas Kurikulum (KAK) dan kemudian dilaporkan sama ada secara fizikal atau online.

Menganalisis KAK dan membuat PBD apa kelebihan yang sudah terhasil?

Jika dahulu orang beranggapan, kerja guru senang antaranya mereka hanya mengajar setengah hari dan setahun ada cuti berbulan. Tolonglah mungkin sebelum tahun 2000, kerja guru boleh dikira ringan tetapi jangan ingat ia masih di takuk sama.

Contoh ketika dalam takwim, sekolah sedang bercuti tetapi grup WhatsApp sekolah tidak pernah tidur begitu juga pekeliling demi pekeliling. Mesyuarat juga semakin menjadi `kegilaan’ jika tidak boleh secara fizikal secara online pun jadilah.

Jadi jika semua itu perlu dianggap sebagai remeh di mana ruang dan masa guru yang tinggal untuk mereka mengatur kehidupan peribadinya?

Selain itu, janganlah kerana kerjaya itu atas pilihan sendiri maka guru perlu reda dengan semua tugas-tugas bertimbun itu.

Dan isu ini, Kementerian Pendidikan kena turun padang, pasang telinga, buka mata dan paling penting buka minda mencari jalan memulihkan profesion guru agar kembali menjadi kerjaya menyeronokkan.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia