PRU15 jawapan kestabilan politik,ekonomi? - Utusan Malaysia

PRU15 jawapan kestabilan politik,ekonomi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEMI masa depan kemajuan ekonomi, kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat ketika pandemik Covid-19 belum lagi dikalahkan, menjadi keperluan kerajaan sekarang kekal menerajui negara.

Seeloknya tanpa diganggu dengan kerenahkerenah politik berkepentingan diri.

Fahami denyut hati rakyat yang sudah muak dengan pergeseran politik yang tidak berkesudahan.

Bukankah pemilihan Perdana Menteri sekarang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah bidang kuasa Seri Paduka Baginda yang termaktub di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan? Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sah di sisi undang-undang dan Perlembagaan.

Kerana itu kita memerlukan iklim politik baharu yang lebih segar dan matang untuk keluar daripada bayangan politik lama yang menjengkelkan.

Dengan kejatuhan ekonomi terburuk sejak 1998, negara memerlukan lebih ramai ahli politik muda yang berwibawa bersama ahli politik senior yang mempunyai hikmah tinggi untuk terus berjuang dalam cabaran ekonomi global hari ini.

Andai PRU mengejut atau snap election jawapannya dalam memastikan kestabilan politik berterusan, lakukanlah. Mengapa tidak disegerakan tahun ini supaya pelabur tidak tertanya-tanya jaminan kerajaan tidak akan bertukar secara tiba-tiba dek ‘kedudukan tipis’ di Dewan Rakyat.

Dengan itu hasil mandat rakyat yang diterima kelak diyakini menawarkan agenda politik yang lebih dinamik, seterusnya menjadi semak dan imbang rakyat kepada kerajaan yang dipilih.

Memetik ungkapan Bob Hope, seorang penghibur Hollywood, mendiang pernah bergurau berkenaan ahli-ahli politik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara ‘syurga dan neraka’.

Beliau menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, ‘hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka’.

Ini hanyalah suatu gurauan. Namun ia menjelaskan kehadiran politik dalam kehidupan semua orang – tidak kira sama ada beliau seorang ahli politik atau tidak.