PRU15 awal: Demi rakyat atau politik?

PRU15 awal: Demi rakyat atau politik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMPAK gayanya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan pada tahun ini juga. Jika berdasarkan kepada keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, dan reaksi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia seperti sudah muktamad akan diadakan tahun ini.

Ibarat membujur lalu melintang patah. Apa pun yang berlaku tidak kira banjir, ribut atau taufan, PRU15 tidak boleh dilengahkan lagi. Walaupun pihak pembangkang membantah, dalam menetapkan tarikh pilihan raya ini, kelebihan selalunya berpihak kepada kumpulan yang memerintah.

Walaupun keputusan akhir terletak pada Yang di-Pertuan Agong, ia bergantung kepada nasihat dan cadangan daripada Perdana Menteri. Berdasarkan kepada perkembangan semalam, Perdana Menteri nampaknya bersetuju menyegerakan PRU15.

Yang menariknya kedua-dua pihak sama ada yang bersetuju dengan pilihan raya awal atau yang menentang menjadikan rakyat sebagai alasan utama mereka. Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia perlu dipercepatkan demi kepentingan rakyat.

Sementara pembangkang pula berkata, keputusan itu me­nunjukkan UMNO/BN mengetepikan kepentingan rakyat kerana kemungkinan pilihan raya diadakan pada musim banjir.

Kata mereka, keutamaan sepatutnya adalah kebajikan dan keselamatan rakyat, bukannya memilih kerajaan.

Dalam situasi sekarang, memilih kerajaan sebenarnya sama penting dengan menjaga kepentingan rakyat. Kepentingan rakyat akan lebih terjamin kalau kerajaan stabil. Sejak PRU14 pada 2018, politik negara agak huru-hara. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, kita dapat tiga perdana menteri hanya melalui satu pilihan raya.

Kerajaan sekarang pun lebih disifatkan sebagai kerajaan yang ‘menjaga’ hati supaya tidak ada pihak yang berpaling maka orang lain pula jadi perdana menteri.

Akhir-akhir ini pula mereka yang dalam kerajaan juga nampaknya tidak sehaluan. Antara menteri Kabinet UMNO, Pas dan Bersatu masing-masing tidak sehaluan. Malah dalam UMNO pun tidak ada kesepakatan. Ada kumpulan yang mahu PRU awal dan ada pula yang minta supaya tunggu sampai habis penggal.

Ini semua mencetuskan kecelaruan kepada negara hingga para pemimpin sukar memberi tumpuan kepada isu-isu negara yang lebih besar seperti kemerosotan nilai ringgit, inflasi yang meningkat, 500,000 penoreh getah menderita dan hampir 20,000 pelajar cemerlang tidak dapat tempat di universiti awam.

Realitinya, para pemimpin sudah tidak boleh fokus untuk memimpin negara atau menyelesaikan masalah rakyat kerana dalam kepala masing-masing hanya memikirkan PRU15. Mereka sendiri tertekan kerana bila-bila masa boleh kehilangan kuasa.

Maka eloklah segera diadakan pilihan raya dengan harapan ada pihak mendapat mandat yang solid untuk memerintah negara. Bukannya terumbang-ambing macam sekarang.

Mengawalkan PRU15 ini sebenarnya bukan kerana kepentingan rakyat, tetapi lebih kepada manfaat politik kumpulan ter­tentu.

Selepas pilihan raya selesai, setelah kerajaan baharu dibentuk nasib rakyat belum tentu berubah. Harga getah sekerap belum tentu naik. Siswazah menganggur belum tentu dapat kerja dan ekonomi negara belum tentu pulih. Yang pasti apabila Parlimen sudah bubar, rakyat tetap perlu memilih kerajaan. –UTUSAN

  • Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.