Proses “penyembuhan” negara bermula - Utusan Malaysia

Proses “penyembuhan” negara bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pernah berkata: “Adalah penting untuk memastikan kita bercakap antara satu sama lain dengan cara yang menyembuhkan dan bukan cara yang menyakitkan.”

Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kebanyakan kata-kata yang dihambur adalah pedas dan menyakitkan. Semua itu membawa kepada keadaan kita hari ini. Dalam tempoh kurang 40 bulan, Malaysia menyaksikan tiga majlis pelantikan perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri ketiga dalam tempoh tiga tahun dan tiga bulan. Ada pihak gembira dan tidak kurang yang kecewa. Ada merasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menerajui kerajaan berdasarkan keputusan PRU14.  Tetapi prinsip pelantikan mana-mana PM berdasarkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Itu tidak berubah dan tidak akan berubah.

Kerajaan PH juga dilantik berdasarkan prinsip perlembagaan sama. Jika diteliti, lebih 30 ahli parlimen yang menyokong Ismail Sabri adalah orang sama mengabsahkan kerajaan PH. Jadi, kerajaan sedia ada seperti mini PH.  Malah, tujuh pilihan raya kecil menyaksikan kekalahan calon PH. Semua ini angka yang tidak boleh dinafikan. Ia sesuatu yang boleh direnung pemimpin-pemimpin pakatan itu. Dalam kebanyakan masa, adalah lebih mudah menyalahkan orang lain untuk menutup kegagalan sendiri.

Sepanjang tempoh 39 bulan lalu, terlalu banyak episod politik yang menggoncang negara ini. Pandemik Covid-19 dan kesan ekonomi diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik yang rapuh seperti daun layu luruh ketika musim panas.

Ismail Sabri berdepan semua ini, sama seperti perdana menteri sebelumnya. Dengan hanya 21 bulan sebelum PRU15, tugas yang ada adalah singkat tetapi besar dan mempunyai implikasi kepada masa depan negara.  Dalam ucapan sulung sebagai Perdana Menteri Ismail Sabri menawarkan an olive branch kepada pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19. Dalam ucapan dengan 1,451 perkataan, Ismail Sabri menegaskan bahawa ini masa untuk berfikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.

“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” katanya. Sama ada tawaran ini jalan keluar daripada kemelut politik ketika ini, ia bergantung kepada keikhlasan setiap ahli Parlimen. Perbezaan politik bukan hanya mengenai idealisme atau prinsip atau falsafah. Apa yang kita lihat sepanjang hampir 40 bulan lalu ialah pencampuran untuk berkuasa atas idealisme membawa perubahan. Harapan dijual tetapi perubahan tidak mendatang.

Bulan-bulan akan datang bakal menjadi pengukur idealisme, pegangan sebenar serta apa yang tersirat. Ismail Sabri telah memberikan an olive branch kepada kemelut politik negara untuk proses “penyembuhan”. Siapa yang ada hati lebih besar akan diukur rakyat, sebelum sekali lagi mereka keluar mengundi pada PRU15.

Ahli falsafah terkenal China Lao Tzu berkata: “To lead people walk behind them (Untuk memimpin masyarakat, berjalan di belakang mereka)”. Masa untuk menilai siapa berjalan di belakang rakyat atau lebih mahu berada di depan.

Mohamad Azlan Jaafar ialah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya