PPV: Berlaku adil kepada pihak sekolah - Utusan Malaysia

PPV: Berlaku adil kepada pihak sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula hari ini. Ia menyasarkan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Bagi sekolah yang dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV), pelbagai persiapan telah diatur untuk memastikan agenda besar itu berjalan lancar.

Suasana pastinya berbeza dengan PPV korporat yang lebih ‘meriah’ dan kerap mendapat sorotan lensa dan liputan media.

Menjelang pembukaan sekolah dijadual Oktober ini, kumpulan remaja terbabit, selain para pendidik, perlu dipersiapkan ketahanan diri mereka menghadapi sebarang kemungkinan apabila kembali bersemuka dengan rakan-rakan dan guru-guru di sekolah nanti.

Untuk itu, perhatian khusus wajar diberikan agar PICK membabitkan generasi pelapis dan pewaris negara ini mencapai objektifnya.

Berita kurang enak seperti sekolah yang menjadi PPV, tidak diberikan sebarang peruntukan khusus untuk menjayakan agenda penting negara itu, tidak sewajarnya timbul dan dibiarkan tanpa sebarang solusi.

“Kita diminta bekerja secara sukarela, tetapi tidak ada bantuan kewangan daripada kerajaan,” kata seorang pengetua yang sekolahlah bakal menjadi PPV.

Dianggarkan lebih 6,000 pelajar tingkatan empat dan lima bakal diberikan suntikan vaksin dos pertama di sekolah berkenaan, yang memerlukan sumber kewangan untuk menjayakan program tersebut. Antaranya, membeli peralatan sanitasi, makan minum petugas dan pembersihan sepanjang 10 hari ia berlangsung. Kosnya dianggarkan hampir RM20,000.

Mana sekolah nak ‘korek’. Sekolah bukan tempat buat duit. Dikenakan bayaran sedikit pun sudah bersuara sesetengah ibu bapa.

Hendak meminta sumbangan pihak luar, difahamkan sekolah tidak dibenarkan berbuat demikian atas kapasiti sektor awam. Serba salah mendengarnya. Sebagai solusi, setiap sekolah yang pelajar mereka divaksin di PPV itu, menghulurkan sejumlah peruntukan dan selebihnya sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Itu baharu isu sekolah sebagai PPV. Belum lagi soal baik pulih sekolah menjelang kehadiran semula pelajar-pelajar yang hampir dua tahun tidak menjalani sesi persekolahan secara sempurna.

Hendak membaiki bangunan rosak dimakan anai-anai juga khabarnya bantuan masih tidak kunjung tiba, meskipun telah berulang kali disuarakan. Begitu juga baik pulih lain dan menceriakan kawasan sekolah. Banyak juga belanja yang keluar daripada kocek guru-guru sendiri.

Tanpa tanggungjawab tinggi dalam kalangan warga pendidik ini, kita boleh bayangkan macam mana suasana pendidikan dan keadaan sekolah, terutama asrama yang anak-anak kita ‘tinggalkan’ hampir dua tahun. Terima kasih cikgu.

Untuk itu, semua pihak bertanggungjawab membantu sekolah menjayakan PICK dan menyediakan suasana pembelajaran kondusif bagi mencetus kembali semangat juang menuntut ilmu anak-anak kita. Gagalnya anak-anak ini, maka gagal jugalah negara pada masa hadapan.

Yulpisman Asli ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.