Politik ugut rosakkan negara - Utusan Malaysia

Politik ugut rosakkan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

aznan mindaSELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 {PRU14), politik Malaysia seolah-olah memasuki satu dimensi baharu yang sukar di ramal. Harapan rakyat ketika menumbangkan Barisan Nasional (BN) adalah Malaysia baharu yang lebih baik.

Tetapi itu semua tidak menjadi kenyataan kerana pemimpin yang diberikan amanah untuk memimpin negara, untuk mengeluarkan negara daripada kemelut rasuah dan krisis integriti lebih mementingkan kuasa dan kepentingan peribadi.

Mereka melakukan apa sahaja memastikan kepentingan dan cita-cita peribadi tercapai termasuk mengetepikan soal integriti, mengkhianati rakan sepakatan, mengamalkan politik ugutan dan akhir sekali mengkhianati rakyat.

Ramai yang lupa bahawa PH menang pada PRU14 menumbangkan BN kerana kombinasi PKR, DAP, Amanah dan Bersatu. Ia kerana komitmen para pemimpin untuk menawarkan dimensi politik baharu kepada rakyat.

Selain gula-gula daripada manifesto, ketika itu rakyat cukup yakin PH mampu melakukan perubahan kepada persekitaran politik negara.

Malah, untuk memastikan kemenangan PH, para pemimpinnya turut berbaiah sesama sendiri, dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaafkan Tun Dr. Mahathir Mohamad, sementara Dr. Mahathir pula memaafkan seteru lamanya Lim Kit SIang.

Malah Dr. Mahathir sendiri berjanji akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dua tahun PH memerintah.

Tetapi itu sebelum menang dan sebelum mendapat kuasa. Selepas BN tumbang dan apabila PH berkuasa buat pertama kali, semua itu berubah. Janji bahawa Anwar akan menjadi Perdana Menteri selepas dua tahun tidak ditunaikan. Selain timbul pelbagai isu lain yang menjengkelkan.

Ancam-mengancam, ugut-mengugut mula muncul. Masing-masing mula merangka strategi untuk kepentingan peribadi. Untuk memastikan mereka berada di pentas kuasa.

Kemuncaknya membawa kepada Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan dipilih rakyat tumbang, dan tak semena-mena, UMNO dan BN yang kalah pada PRU14 dapat kembali membentuk kerajaan selepas Bersatu ‘menikam’ PH dari belakang.

Maka naiklah kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagi Perdana Menteri. Itu pun tidak lama. Jika PH bertahan 22 bulan, PN pula hanya 18 bulan. Sekali lagi ugutan dan tikam belakang menumbangkan kerajaan.

Biarpun kerajaan sekarang masih berdiri atas platform PM, tetapi tidak ada keakraban dan ketaatan di dalamnya. Antara UMNO/BN dengan Bersatu dan Pas masing-masing saling mencurigai. Masing-masing mencari jalan untuk menjatuhkan yang lain.

Ini jelas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memperlihatkan UMNO/BN bergerak sendiri tanpa PN yang hanya tinggal Bersatu dan Pas.

Selepas Melaka, giliran Johor pula mengadakan pilihan raya yang sekali lagi memperlihatkan bagaimana UMNO menggunakan dominasinya untuk membubarkan kerajaan.

Keadaan itu meletakkan PN iaitu Bersatu dan Pas berada dalam keadaan terdesak. Jadi tidak hairan jika Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengeluarkan ugutan akan menarik sokongan kepada UMNO di peringkat pusat.

Jika itu menjadi kenyataan maka sekali lagi kerajaan akan tumbang. Sedangkan ketika ini rakyat berhadapan dengan pelbagai isu yang mencengkam kehidupan. Sepatutnya ketika ini isu rakyat perlu diutamakan bukan soal siapa yang akan berkuasa.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia