Politik Melayu hindari enau dalam belukar - Utusan Malaysia

Politik Melayu hindari enau dalam belukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA ada cakap-cakap kurang enak mengenai kemelut politik terbaharu melibatkan parti dikatakan teras orang Melayu, ada banyak ketika keinsafan perlu ada dalam diri.

Ada mengatakan biarkan begitu konflik dalaman parti Melayu itu. ‘Ribut dalam cawan’ sahaja, bila ribut berlalu, redalah ia. Telahan sedemikian tidak molek, apa lagi politik realitinya bersandar kepada sentimen dan perasaan rakyat, dengan inflasi dan isu naik turun harga barang dan ringgit waktu ini.

Inilah dikatakan politik itu melibatkan perbuatan mene­ladani alam sekeliling – manusia dan alam. Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.

Tidak perlu pandang jauh, Singapura sekitar tahun 1969 – baru empat tahun keluar dari gagasan Malaysia setelah disisihkan daripada Malaysia – pemimpinnya dibantu sekerat dua barisan menteri sentiasa menyelitkan dalam ucapan-ucapannya soal daya saing dan daya survival.

Gesaan-gesaan perjuangannya ala sebuah masyarakat yang terhimpit. Republik itu menaruh keyakinan kepada kemampuan berfikir dan bertindak secara survival warga pulau yang serba-serbi kekurangan. Rejimentasi masyarakat dijalankan Lee Kuan Yew dan pentadbirannya bersama social engineering yang tak putus-putus.

Mesej yang di­sematkan ialah Singapura dengan penduduknya yang tidak sampai dua juta ketika itu bergantung kepada kuasa otak dan kerajinan warganya. Majulah Singapura yang dicipta Zubir Said itu benar-benar diamalkan.
Parti pemerintah, PAP yang mengamalkan dasar sosialis ketika itu cukup sederhana dalam serba-serbi bidang dan lapangan. Pemimpin tidak act atau beraksi dengan pakaian atau kereta mewah.

Pakaian kemeja putih merupakan simbol mudah dan bersih. Justeru, disiplin hidup yang tinggi diutamakan. Pegawai awam yang rasuah atau yang ‘berbau’ rasuah dihadapkan dengan cara tersendiri atau pemerintah supaya diketepikan. Rasa takut dan rasa malu merupakan ganjaran kepada konsep kerajaan bersih yang utama.

Supremacy atau keagungan pemerintahan PAP tidak dapat dinafikan kerana pemerintahannya terasa dan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur.

Itu secebis kisah pengalaman awal waktu bertatih Singapura, yang kita semua saksikan hasil mengagumkan republik itu hari ini – dengan pelabuhan, pendapatan per kapita dan bandar termahal dunia.

Beringatlah! Selagi rakyat dapat menghayati dan merasa diperintah dengan jujur dan bermanfaat, selama itulah politik sesuatu kumpulan, waima pemimpin itu sendiri di­terima dan disokong.

Implikasi atau akibatnya amat besar dan tidak tertanggung jika politik Melayu terus bertelagah. Apa lagi jika melibatkan sebuah parti yang dilihat dominan dan teras mewakili orang Melayu.

Sentiasa ambil iktibar frasa ini, “apa gunanya menjadi pemimpin dalam parti, tetapi kalah dalam pilihan raya”.
Perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan.

 

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya