Politik Malaysia yang unik - Utusan Malaysia

Politik Malaysia yang unik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA memang unik kerana masyarakatnya yang pelbagai bangsa, agama dan budaya tetapi mereka masih boleh hidup aman damai dan harmoni.

Toleransi tinggi dan saling membantu antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India sangat membantu dalam membentuk satu perpaduan yang sangat erat.

Keunikan budaya itu juga menjadi satu perkara yang sangat dikagumi oleh kebanyakan pelancong yang datang berkunjung ke negara ini.

Dari segi komposisi penduduknya, kaum Melayu me­rupakan kaum majoriti dengan jumlah 60 peratus daripada 34.4 juta rakyat negara ini diikuti kaum Cina kira-kira 23 peratus, India kira-kira 7 peratus dan bakinya adalah kaum-kaum lain.

Keunikan itu juga dapat dilihat dari segi struktur politiknya kerana masing-masing kaum ada parti politik yang mewakili mereka. Bukan satu tetapi banyak terutama kaum Melayu.

Ketika ini terdapat beberapa parti utama mewakili orang Melayu antaranya UMNO, Pas, Bersatu, Amanah, Pejuang dan Berjasa. Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Bersama yang baru ditubuhkan oleh bekas pemimpin PKR merupakan parti pelbagai kaum tetapi oleh kerana pemimpinnya adalah orang Melayu, maka ramai kaum itu juga bernaung di bawah parti tersebut.

Kaum Cina juga bernaung di bawah beberapa parti seperti DAP, MCA dan Gerakan. Begitu juga dengan kaum India yang kini mempunyai beberapa parti selain MIC.

Banyak parti mewakili setiap kaum itu merupakan sesuatu yang sihat kerana ia kelihatan seperti ramai pe­mimpin yang mahu membantu soal kebajikan kaum ma­sing-masing.

Namun yang menjadi masalah apabila politik juga memisahkan setiap kaum berkenaan apabila pelbagai isu dimainkan mengikut persepsi masing-masing.

Hinggakan ramai yang menyatakan ‘Rakyat di bawah tidak ada masalah perpaduan tetapi pemimpin politik memisahkan mereka’.

Segelintir pemimpin politik dilihat cuba menjadi hero kaum mereka sehinggakan kadangkala isu perpaduan menjadi seperti api dalam sekam di negara ini dan suhunya dilihat sangat tinggi. Jika tidak dikawal pihak berkuasa, pelbagai insiden boleh berlaku.

Perseteruan antara pemimpin politik Melayu dan bukan Melayu seperti sudah menjadi tradisi dalam sejarah politik tanah air.

Yang lebih uniknya apabila parti-parti yang mewakili kaum masing-masing juga bertelagah sesama sendiri. UMNO dan Pas misalnya masih tidak boleh duduk bersama, Pas dan Amanah juga begitu. Terbaharu Bersatu juga ada masalah dengan Pas selain berseteru dengan UMNO dan Amanah.

DAP dan MCA juga tidak boleh bersama. Terkini PKR juga sudah mula ada isu dengan UMNO. Bersama pula akan menambahkan lagi perpecahan parti-parti terlibat.

Yang menariknya walaupun berlaku perseteruan antara parti-parti politik, pemain yang terlibat adalah orang yang sama sejak dahulu walaupun sesetengah mereka sudah bertukar parti.

Keunikan politik Malaysia itu diharapkan hanya menjadi alternatif kepada rakyat negara ini untuk memilih pemimpin dalam pilihan raya akan datang, bukannya menambah fahaman sempit politik dan memecah belah perpaduan rakyat. – UTUSAN

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pemangku Timbalan Pengarang Utusan Malaysia