PKP: Pelik bawa keluarga jalan-jalan - Utusan Malaysia

PKP: Pelik bawa keluarga jalan-jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dIlaksanakan sejak 13 Januari lalu di enam buah negeri, ia tidak menjejaskan rakyat secara amnya, terutama dalam aktiviti ekonomi dan sosial.
Syukur kerana kebanyakan perniagaan dibuka kepada umum dan kita masih dapat menjalankan urusan seperti biasa tetapi bersyarat, iaitu hanya dua individu dalam sebuah kenderaan dibenarkan.
Namun, jika dilihat, masih ada yang berdegil dengan membawa keluarga dan anak-anak kecil untuk membeli makanan dan barangan keperluan walaupun masih dalam lingkungan radius 10 kilometer, seperti mana yang dibenarkan kerajaan.
Bidang penguatkuasaan juga dilihat masih longgar dan perlu diperbaiki. Ini kerana masih terdapat penduduk di kawasan perumahan yang masih mengabaikan PKP termasuklah menggunakan kawasan riadah sedangkan perbuatan itu ditegah.
Kegilaan apakah ini? Cukuplah hanya ketua atau wakil keluarga untuk keluar rumah bagi membeli barangan demi mengurangkan kesan jangkitan pandemik itu.
Jangan sesekali menggunakan alasan keluarga jemu untuk terperuk dalam rumah atau anak-anak kebosanan. Pilih antara dua, lindungi nyawa atau dedahkan diri kepada jangkitan Covid-19, lalu sakit dan mati. Sama-samalah kita melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19.
Apa yang berbezanya kali ini, PKP menuntut orang ramai perlu berada di rumah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di luar, amalkan penjarakan sosial.
Pada saat getir ini, rakyat perlu pandai memainkan peranan dan jangan ulangi kesilapan dahulu yang kurang mengendahkan penjarakan sosial.
Jangkitan tertinggi yang pernah dicapai di negara ini adalah semalam dengan 4,029 kes dan jumlah jangkitan keseluruhan 155,095 kes.
Lebih 70 peratus jangkitan dilaporkan berlaku dalam enam negeri yang dikenakan PKP iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya), Sabah Melaka dan Johor.
Terkini, Kelantan menjadi negeri ketujuh dalam pelaksanaan PKP sehingga 26 Januari ini.
Kita jangan mudah berasa selesa berikutan vaksin Covid-19 dijangka tiba pada Februari dan Mac tahun ini dan jangan sesekali ‘main-main’ dengan peraturan yang dikenakan kerajaan.
Ini berikutan vaksin penyakit berkenaan tidak mempunyai jaminan keberkesanan melainkan kita sendiri yang berusaha mencegah dan melandaikan lengkuk jangkitan dengan mengamalkan pematuhan SOP.
Pada tahun ini, kita simpan dahulu rasa rindu dendam terhadap ahli keluarga di kampung lebih-lebih lagi pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. Insya-Allah! bila keadaan pulih seperti sedia kala, jangkitan dapat dikawal, kita akan dapat bertemu jua ahli keluarga kesayangan. Sama-samalah kita berdoa. Amin.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.