Pilih bercakap benar, bukan Machiavelli - Utusan Malaysia

Pilih bercakap benar, bukan Machiavelli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA jika mahu terus bertahan lasak dan sukses waktu mendatang ini perlukan pemimpin-pemimpin muda dan se­nior yang berani menongkah arus.

Sanggup lari dari tradisi. Tidak lagi terperangkap dalam politik Machiavelli – demi matlamat menghalalkan cara.

Ikut persepsi klasik Itali ini seseorang ahli politik tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua yang beliau berkhidmat dilihat kurang bijak. Hanya kerana untuk bertahan lama dalam politik, individu itu terpaksa selitkan sedikit Machiavelli. Bahkan lebih dahsyat lagi demi jawatan dan kuasa, memaksa diri menjadi pembodek dan pencacai. Akibatnya kesan jangka panjang, negara merana.

Untuk menjadi lurus macam pembaris perlukan pembaharuan politik baharu. Ahlinya perlukan asuhan diri, tidak angkuh, rela dikritik, tahan kena seksa dan tidak mudah mengaku kalah. Sifat-sifat ini mudah disebut, tapi sukar dilaksanakan.

Tetapi, untuk Malaysia melangkah jauh dalam dunia serba-serbi amat mencabar hari ini itulah sahaja jalannya. Kalau cara kendalian ekonomi dikatakan cacamarba diuruskan oleh yang bukan ahlinya, tampilkan sahaja orang dari luar jika dia ada ubat mujarabnya.

Dengan hentakan Revolusi Industri (IR) 5.0 dan teknologi kecergasan buatan (AI), kita perlukan barisan kepimpinan politik yang bercakap benar. Tahu dan sedar untuk bezakan mana satu rasuah, hadiah dan rezeki. Yang tidak sembunyikan kebenaran semasa perjawatannya. Tetapi konon segala­nya wallahi wabilahi watallahi sebaik sahaja hilang atau lepaskan jawatan.

Benar, aral melintang cukup besar. Berhadapan sebahagian pengundi, ibarat kisah enam orang buta dengan gajah. Mereka memberi deskripsi mengenai rupa bentuk seekor gajah. Ada yang memegang ekor, dikatakannya tali. Ada yang meme­gang kaki, dikatakannya tiang.

Ada yang memegang telinga, dipanggilnya kipas. Yang memegang badan, disamakan pula dengan dinding. Yang memegang belalai, disamakan dengan ular. Dan yang memegang gading, disamakan dengan tombak. Setiap daripada orang buta itu tidak salah. Mereka juga tidaklah betul.

Dan begitulah kepelbagaian niat dan interpretasinya pe­ngundi kita terhadap calon dan parti-parti politik. Bolehkah dalam pilihan raya negeri nanti diSelangorkan Kelantan atau DiKelantankan Selangor?

Yang cukup kita bimbang tiada lagi kepercayaan orang muda generasi 90an dan 2000 terhadap orang politik. Kesan sistem kebobrokan dalam lima tahun sebelum ini mengajar mereka akan tiada lagi pemimpin orator. Tiada lagi cerdik pandai. Tiada lagi agamawan yang ikhlas di pentas.

Tiada lagi pemimpin sejati. Tiada lagi apa-apa. Yang tinggal hanya pemimpin yang kurang serba serbi. Tidak ada keazaman politik oleh parti-parti Melayu untuk satukan bangsanya. Semuanya ‘cakap besar’ mengejar jawatan, pangkat dan kuasa.

Beginikah agaknya kita rakyat Malaysia menilai percaturan orang-orang politik? Sebab itu ada kalangan mereka digelar ‘politikus’ – kerana meletakkan rakyat dalam keadaan ‘gajah sama

gajah bertempur, pelanduk mati di tengah-tengah’.
Kita mahu ahli politik lurus macam pembaris yang tidak ambil sesuatu bukan haknya kah? Atau yang terus berpaksikan Machiavelli? Tepuk dada tanya selera.

 

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia