Piawaian tinggi calon PRU15 - Utusan Malaysia

Piawaian tinggi calon PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN mudah parti politik memilih calon yang tepat untuk pe­ngundi jatuh hati.

Waktu pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tempoh hari asyik dilagukan calon boleh menang atau winnable candidate. Alehaleh tersungkur di kertas undi.

Mana-mana bakal calon yang ada liabiliti atau kecacatan imej di masa lepas, misal kata kekal di Internet gambar dia bersama ‘wanita karaoke’; kelibat dalam pusat judi, waima klip video ucapan menghamburkan kata nista kepada kaum lain, pasti perlu dinyah keluar senarai calon.

Pernah pada PRU 2013 calon sebuah parti ‘mati akal’ untuk menjawab isi ceramahnya bersama bekas partinya yang pernah diungkapnya 10 tahun sebelum itu yang menghina agama.

Terbaharu, menghadapi PRU15, seorang menteri besar yang teruja mahu mengangkat seorang individu sebagai calon terpaksa akur apabila diperingatkan bahana jika bab ‘isu nikah’ individu itu didedahkan kepada pengundi semasa kempen.

Bukan mudah membaca sentimen pengundi. Latar belakang sosial mereka pelbagai. Setiap 222 kerusi Parlimen dan 337 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang jadi rebutan – setelah ditolak 239 kerusi DUN yang telah melalui empat pilihan raya negeri (PRN) – ada kisah tersendiri. Ada bakal calon tidak disukai orang parti.

Akhirnya diketepikan pucuk pimpinan parti sehingga dia bawa diri sebagai calon bebas. Hairannya dia calon tunggal parti itu yang menang pilihan raya lepas. ‘Salah langkah’ ini terjadi di PRN Johor Mac lalu.

Malah ada kerusi yang calonnya dibayangi karektornya yang dia sendiri tidak boleh ubah. Itulah ‘dia sejak dulu’, cakap selalu ‘tinggi’.

Di saat-saat genting semasa kempen pun masih ‘bodoh sombong’ enggan dapat bantuan bekas wakil rakyat partinya.

Yang tidak fasih kandungan manifesto lagilah ramai. Agaknya parti buat manifesto yang tidak terbawa. Teoritikal. Sukar hendak dihurai, difahami. Aspirasinya tidak nampak.

Membela Islam dan Melayu kurang jelas. Masih apologetik. Pembelaan ke atas kaum-kaum lain pula lagi kabur. Ada janji dijual setinggi Gunung Everest. Walhal, orang kita cerdik menilai ‘lepas menang, janji tinggal janjilah ni’.

Harus tepat bacaan pemilih calon. Macam Pep Guardiola pilih Erling Haaland atau Mikel Arteta ambil Gabriel Jesus – kerana di kerusi DUN tertentu, perlu dipilih juga calon dahulunya dia ahli parlimen.

Banyak pengalaman, bahkan luas pengaruhnya. Ada calon pula sejak usia 20-an lagi sudah jadi ketua kampung. Cukup dikenali masyarakat setempat. Keikhlasan terpancar di wajah, tulen, jenis suka menolong.

Dipercayai majoriti 16 juta pengundi sudah pun ada dalam kepala pilihan mereka. Apa lagi dijangka 7.8 juta pengundi baharu akan memberi ‘penangan padu’.

Termasuklah yang 3.8 juta mewakili golongan muda berusia 18 tahun.

Ya, era ini terlalu ramai yang menyebut perihal ‘memilih pemimpin yang berkualiti. Kualiti apa? Sebelum tahun-tahun 1970-an, orang Melayu tidak menyebut ‘kualiti’.

Mereka menyebut sifat-sifat terpuji.

Maka untuk PRU15 nanti, pilihlah calon yang bakal membawa kesejahteraan untuk ramai berbanding gelagat fikirkan tembolok sendiri sahaja.

Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya.

Adakah dia hanya pemimpin semasa cuaca cerah. Tetapi ketika tengkujuh dia menghilang?

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya