Pesawah juga perlu ikut resmi padi

Pesawah juga perlu ikut resmi padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu pengeluaran padi yang dikatakan tidak mencapai tahap produktif sepatutnya sudah tidak berlaku lagi.

Kecuali faktor alam, cuaca dan penyakit yang tidak boleh dijangka, isu-isu lain yang berkaitan dalam industri yang melibatkan 240,000 pesawat itu sudah lama sepatutnya ditangani dan diselesaikan.

Masalah seperti pengaliran tidak cekap, benih dan baja tidak berkualiti, penggunaan benih yang tidak disyorkan, saiz bendang yang kecil sudah lama diperdebatkan dan tidak sepatutnya berulang.

Selepas beberapa dekad tanaman padi diusahakan di negara ini selaras dengan statusnya sebagai makanan ruji negara, sewajarnya kini masa untuk melihat para pesawah menikmati kehidupan lebih baik hasil daripada keringat yang mereka tabur selama ini.

Namun apa yang berlaku adalah pesawah terus bergelumang dengan kemiskinan malah bertambah pula dengan pelbagai masalah baharu iaitu peningkatan harga baja dan pelbagai kos lain. Kenaikan harga minyak turut menjejaskan mereka apabila kos mesin tuai turut meningkat.

Selera rakyat kepada brasmati dan beras wangi dari negara luar juga boleh mengancam beras tempatan.

Itu belum lagi pesawah berhadapan masalah pemilikan tanah apabila ramai pewaris menuntut tanah yang ditinggalkan oleh ibu bapa yang meninggal dunia. Akhirnya tanah yang luas menjadi semakin kecil malah ada yang terbiar dan bertukar menjadi kawasan perumahan.

Perlukah pesawah terus bising-bising dalam isu pengeluaran padi ketika ini. Apa yang kerajaan tidak lakukan untuk industri itu? Dari subsidi benih, baja, penetapan harga padi dan penyelidikan, semuanya sudah dilakukan.

Pakar-pakar pertanian juga sudah ramai yang memberi nasihat dan pandangan.

Malah teknologi negara jiran juga sudah dipelajari dan cuba diguna pakai di negara ini. Ejen-ejen perubahan dari semua peringkat sudah lama dibawa masuk ke bendang di seluruh negara namun hasilnya tetap sama.

Di mana silapnya industri padi negara? Kenapa kawasan seperti di Sekinchan mampu mengeluarkan sehingga 11 tan sehektar tetapi ia tidak berlaku di kawasan lain? Tidak cukup lagikah apa yang kerajaan lakukan atau pesawah sendiri yang tidak mahu berubah?

Mungkin pesawah juga perlu mengikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Dengan ilmu pertanian, semangat yang cekal dan cekap menguruskan bendang secara konsep ladang, mereka juga sebenarnya boleh berjaya atau mencapai tahap se­perti pesawah di Sekinchan.

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia