Perketat aspek keselamatan ketika pendakian - Utusan Malaysia

Perketat aspek keselamatan ketika pendakian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN seorang pengguna media sosial di Threads supaya diwujudkan lesen bagi aktiviti pendakian sebagaimana lesen selam skuba wajar diberikan perhatian.

Menurutnya, lesen bersebut boleh menentukan kelayakan seseorang pendaki berdasarkan ketinggian serta tahap risiko sesebuah gunung atau bukit yang ingin didaki.

Cadangan itu timbul susulan kerap berlaku insiden kemalangan ketika aktiviti pendakian termasuk kes yang meragut nyawa. Walaupun idea tersebut mungkin dilontar secara bersahaja, ia sebenarnya mempunyai asas kukuh untuk dipertimbangkan.

Melaluinya, seseorang pendaki bukan sahaja perlu menjalani latihan asas malah perlu memahami antaranya penggunaan peralatan, tahap kecergasan dan aspek ke­selamatan sebelum dibenarkan mendaki lokasi tertentu.

Cadangan lesen pendakian boleh dilihat sebagai sekatan aktiviti rekreasi masyarakat. Namun hakikatnya ia merupakan sukan lasak berisiko tinggi dan tidak memadai hanya dengan memperoleh permit pendakian atau khidmat malim gunung semata-mata.

Mungkin cada­ngan mewujudkan lesen pendakian masih dianggap terlalu jauh atau belum realistik untuk dilaksanakan ketika ini. Ada juga yang melihatnya sebagai berlebih-lebihan.

Namun, langkah pencegahan perlu mula difikirkan secara serius agar insiden kemalangan ketika pendakian tidak terus berulang.

Oleh itu, cadangan Presiden Kelab Pendaki Lasykar Gunung, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr. Mohd. Radzi Abdul Hamid seperti dilaporkan akhbar ini semalam supaya diwajibkan insurans pendakian juga wajar diberi perhatian.

Menurut beliau, di Jepun, pendaki wajib membeli insurans pendakian menerusi aplikasi telefon pintar sebelum dibenarkan melakukan aktiviti itu.

Melaluinya, jika berlaku kemalangan, kos operasi menyelamat akan ditanggung syarikat insurans dan tidak dibebankan kepada keluarga mangsa. Tambah beliau lagi, di Korea Selatan pula, semua malim gunung diletakkan di bawah sistem pelesenan Korea National Park Service.

Melalui sistem itu, setiap pendaki direkodkan, didaftarkan dan secara automatik dilindungi insurans keselamatan.

Hakikatnya, pendakian tidak lagi boleh dianggap sebagai aktiviti rekreasi biasa yang boleh dilakukan sesiapa sahaja tanpa mengambil kira kemampuan diri. Aktiviti ini memerlukan ketahanan fizikal dan kekuatan mental.

Pandangan Mohd. Radzi bahawa masih ramai pendaki memandang ringan soal keselamatan juga ada kebenarannya. Ada yang mendaki hanya berbekalkan sebotol air mineral kecil, memakai kasut biasa dan membawa telefon bimbit semata-mata.

Seperti ditegaskannya, ada yang mendaki seolah-olah sekadar keluar bersiar-siar di pusat beli-belah, sedangkan di gunung, satu kesilapan kecil boleh membawa kepada tragedi besar.

Sama ada cadangan pelesenan atau kewajipan insu­rans pendakian ini akan dilaksanakan atau tidak, usaha ke arah memperketat aspek keselamatan tidak boleh lagi ditangguhkan.

Kesedaran bahawa pendakian merupakan aktiviti berisiko tinggi perlu ditekankan kepada masyarakat. Jika langkah pencegahan masih dipandang ringan, kita mungkin akan menyaksikan insiden dan kemalangan ketika aktiviti pendakian berlaku dan operasi mencari dan menyelamat terus berulang. – UTUSAN

Badrul Hafizan Mat Isa ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia