Perkeso wajar adakan skim saringan warganegara - Utusan Malaysia

Perkeso wajar adakan skim saringan warganegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULARAN jangkitan virus Covid-19 di tempat kerja masih menjadi kluster utama yang menyumbang kepada peningkatan kes-kes positif.
Pada masa ini, isu kos saringan Covid-19 menjadi tajuk debat dalam kalangan rakyat. Di peringkat pembuat dasar, kerajaan mahu menetapkan harga berpatutan dan seragam oleh klinik dan hospital swasta, namun cadangan itu ada yang membantah.
Persatuan-persatuan perubatan berpendapat, pilihan terletak kepada pelanggan untuk menerima perkhidmatan terbaik dan mengambil kira semua kos yang perlu ditanggung.
Kalau dilihat dalam situasi sekarang, kerajaan boleh menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menyeragamkan harga saringan Covid-19 di klinik dan hospital swasta. Langkah ini bertepatan kerana situasi sekarang bersifat nasional.
Dalam hal ini, kerajaan perlu mengatasi masalah dengan cara ‘menang-menang’ agar masalah dapat diatasi tanpa memanipulasi mana-mana pihak.
Pada masa ini, kerajaan melaksanakan Program Saringan Prihatin (PSP) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerja warga asing yang mencarum.
Di bawah program ini, Perkeso membayar jumlah subsidi saringan sehingga RM150 bagi setiap pekerja warga asing dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Sekiranya kos saringan yang dilakukan majikan bersama klinik atau hospital melebihi subsidi yang diberikan Perkeso, majikan perlu menanggung lebihan kos tersebut.
Mengapa tidak Perkeso mewujudkan skim yang sama terhadap pencarum warganegara (subsidi penuh), sama seperti program saringan kesihatan yang pernah diadakan beberapa tahun lalu.
Umum mengetahui, kos bayaran ujian Reverse Transcripte-Polymerase Chin Reaction (RT-PCR) agak mahal bermula dari RM300 hingga RM800. RT-PCR memiliki sensitiviti tinggi dan ketepatan sehingga 99 peratus mengesan kehadiran virus Covis-19 dalam tubuh. Malah, kaedah ini disyorkan oleh kerajaan.
Sudah tiba masanya, Perkeso menimbang untuk mengadakan skim saringan bagi pencarum warganegara demi mengekang penularan virus ini dengan lebih pantas.
Ramai yang berpendapat, dengan adanya skim seumpama ini, kerajaan dapat menjimatkan kos, dan boleh diperuntukkan untuk rakyat yang tidak mencarum seperti kakitangan kerajaan, mereka yang tidak bekerja atau bekerja sendiri.

 

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya