Peritnya jadi kerajaan waktu ini

Peritnya jadi kerajaan waktu ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATIF perlu disusun cantik. Tetapi motifnya harus jujur dalam penyelesaian masalah.

Sukar untuk dipersalahkan sesiapa di luar kerajaan 100 peratus jika selaku pembuat dasar ‘tidak faham, sengaja enggan memahami atau sememangnya tidak tahu’ situasi permasalahan hidup hari ini.

Sama ada berkait soal-soal periuk nasi, sara hidup, agama dan penyelewengan, daya juang untuk menyangkal, memperjelas dan mempengaruhi perlu terampil dalam diri para pembesar kerajaan.

Harus berpijak di bumi nyata – musuh politik sentiasa menye­rang. Tidak kira mereka bercakap separuh benar, separuh fakta, manipulasi isu, meroketkan persepsi dan mencetus kontroversi, asalkan matlamat halalkan cara.

Mana-mana parti yang memimpin kerajaan sejak 9 Mei 2018 pasti sudah melalui, malah yang sedia ada bakal bertembung dengan ‘penjatuh’ kerajaan. Soalnya, bijak atau licik, cerdik atau ‘polos’ sahaja dalam kendalikan isu dan persepsi.

Baik Pakatan Harapan, Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional, masing-masing berdepan sebahagian lawan yang sukar. Lawan akan sering mengungkapkan kepada khalayak: “Inform, inform and when they are interested, misinform”.

Atau mereka yang menggunakan muslihat, “If you are going to tell a lie, tell a big one and if you tell it often enough, people will begin to believe it”. Siapa yang uar-uarkan ungkapan helah penuh muslihat ini? Anda boleh layari google.

Hakikatnya kuasa adalah sejenis aphrodisiac paling unik dan mempengaruhi. Tiada siapa harus dipersalahkan apabila trend hempas-pulas berebut kuasa berlaku dan berterusan. Bila dapat betis hendakkan paha.

Bila dapat paha, hendakkan badan pula. Ini naluri manusia biasa. Logik yang diterima secara am, kadang-kala dalam politik tiba-tiba tidak logik lagi.

Yang kita rakyat bimbangi adalah pihak yang tidak pedulikan keluhuran undang-undang. Lantas mencabarnya melalui gerombolan politik jalanan atau politik sorak-sorai.

Ada pula berpendapat tindakan seperti itu membawa keseronokan kerana kononnya ‘mandat rakyat’ sudah ada bersama mereka.

Bila ini berlaku bererti undang-undang negara sudah dike­tepikan. Mulalah dicanang siasatan dan pendakwaan kes-kes itu bersifat zalim. Sedangkan ia diperbuat oleh rakyat sendiri untuk ketenteraman awam.

Siapapun yang menjadi kerajaan hari ini berdepan laluan sukar, perit. Troll dari sana, troll ke sini. Dalam kalangan lingkungan umur 18 tahun hingga 30-an, yang cukup dibimbangi apabila perasaan nasionalis tidak ada lagi dalam diri mereka.

Kelompok ini lebih bertumpu soal mengurus kejayaan. Kumpulan kategori umur inilah akan merencana, seterusnya lakukan perubahan drastik terhadap politik tanah air.

Mereka tidak lagi berfikiran konvensional dalam pendekatan dan kefahaman hidup. Juga kurang peduli nilai merdeka, apa itu rukun negara atau politik ‘pak turut’ boleh lakukan untuk mereka.

Fahaman politik ini berlawanan dengan golongan berusia 55-70 ke atas.

Dengan cara hidup siber, Malaysia terlalu kecil untuk mereka. Mereka me­nuntut hak-hak asasi manusia sejagat. Mereka memulakan perkara-perkara yang dulunya bapa-bapa mereka ambil sambil lewa.

Bagi kerajaan yang berkuasa hari ini, harung sahajalah cabarannya biarpun getir.

Terus nekad, bulatkan hati – perbetulkan yang biasa, biasakan yang betul. – UTUSAN

  • Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya