Perang tarif, kita tidak boleh lihat sahaja

Perang tarif, kita tidak boleh lihat sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Satu-satu China tunjukkan apa yang mampu mereka lakukan apabila Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar tarif yang melampau terhadap pelbagai produk negara itu.

Presiden Donald Trump minggu lalu menandata­ngani arahan eksekutif baharu yang mengenakan tarif sehingga 245 peratus ke atas produk yang diimport dari China.

Langkah itu menyebabkan perang dagang antara dua negara besar itu tidak menunjukkan perkemba­ngan akan reda malah memburukkan lagi keadaan.

Sebelum ini China telah menghentikan import soya dari AS dengan beralih kepada Brazil, diikuti dengan membatalkan pembelian pesawat komersial daripada Boeing.

Kesemua urus niaga itu bernilai ratusan bilion dolar AS. Walaupun Donald Trump seperti mahu menafikan langkah China tersebut bakal menjejaskan negaranya dan menegaskan kenaikan tarif akan memperkukuhkan lagi ekonominya, terdapat kebimbangan banyak pihak dengan dasar ekonomi Presiden AS itu.

Terbaharu Hong Kong pula menghentikan khidmat kurier dengan AS yang turut menyaksikan bekalan barangan farmaseutikal dari China juga akan terjejas. Ini menambahkan lagi kebimbangan ramai terhadap bekalan ubat untuk rakyat AS yang memerlukannya.

Sebelum ini Kesatuan Industri Pengeluar Farmaseutikal Eropah (EFPIA) melahirkan rasa bimbang ber­kenaan impak meluas tarif yang dilaksanakan AS kerana boleh menjejaskan rantaian bekalan dan kesediaan ubat-ubatan dalam pasaran.

Eropah dan AS mempunyai rantaian bekalan yang saling berkaitan untuk ubat-ubatan kerana AS bergantung kepada ubat yang sebahagiannya dihasilkan di Eropah yang mendatangkan pendapatan ratusan bi­lion dolar.

Eksport produk perubatan dan farmaseutikal EU ke AS berjumlah kira-kira AS$97.05 bilion pada 2023, menurut data Eurostat terkini. Dan menariknya bahan mentah untuk farmaseutikal itu datang daripada pembekal di China.

Isu kemanusiaan dalam mendapatkan ubat perkara kedua, yang penting sekali adalah urusniaganya yang lumayan. Itu dalam bidang farmaseutikal, belum lagi soal makanan.

Sebenarnya apa yang berlaku dalam perang dagang dua negara besar itu menunjukkan kepada semua negara tentang perlunya mereka mengurangkan pergantungan kepada sesebuah negara untuk berniaga atau mendapatkan pelbagai barang keperluan.

Isu sekuriti makanan menjadi perbincangan apabila pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020 dan perang Russia-Ukraine juga menyaksikan rantaian bekalan gandum turut terganggu.

Kini perang dagang antara China-AS pula dan Malaysia perlu belajar daripada tiga insiden besar itu dalam memastikan kemakmuran ekonomi dan sekuriti makanan tidak terjejas.

Malaysia juga perlu mengikut dengan rapat sebarang perkembangan dalam perang dagang itu dan juga keputusan-keputusan Trump yang sering berubah.

Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia