Perang politik Melayu masih panjang - Utusan Malaysia

Perang politik Melayu masih panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK dinamik berupa ‘secara tiba-tiba’ atau bikin kejutan, amat berbahaya kepada sesebuah negara dari aspek kestabilan rakyat dan daya tahan-saing ekonominya.

Tiada siapa sangka Langkah Sheraton Februari 2020 tiba-tiba menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara demokrasi oleh pengundi.

Akaun bersumpah (SD) kali terakhir digunakan dalam menyelesaikan krisis politik di Pe­rak 11 tahun sebelum itu dijadikan platform penentu kerajaan – yang didakwa pengkritik dan ‘pembangkang’ sebagai istilah ‘kerajaan pintu belakang atau tebuk atap’.

Dengan amat bergantung pada ‘angka/nombor’ serta kelemahan akta antilompat parti, mana-mana parti politik yang membentuk kerajaan terpaksa lebih berwaspada terhadap tindak tanduk karektor tertentu ahli parti sendiri. Khuatir kemunculan ‘dedalu’. Dedalu tidak tumbuh di tanah.

Dedalu hidup di pangkal dahan pokok-pokok rendang dan sentiasa duduk di atas.
Di sebalik episod-episod pendakwaan terhadap pelaku ra­suah membabitkan bekas pembesar kerajaan dan yang masih dalam kerajaan, kita wajar akui perang politik Melayu hari ini akan terus berpanjangan.

Dengan pilihan raya kecil (PRK) yang acap kali menyusul, bersambung dengan siri pilihan raya negeri, sebelum di­ikuti pilihan raya umum ke-16, kekalutan politik tidak akan berhenti. Malah kian menggila – ibarat barisan pokok bakau atau tebatan yang tidak mampu mengekang ombak atau bah yang membadai.

Cara tidak diperhitungkan, asalkan matlamat tercapai. Kaedah ini akan memanjangkan tabii kawan jadi lawan, sekali gus membiakkan korupsi dalaman. Kaedah ini membunuh sifat luhur, sekali gus membunuh budaya kemelayuan kita. Ia membunuh politik demi perolehan jawatan dan pangkat – kuasa.

Pemain-pemain politik kita hari ini, tidak kira yang mana satu, pasti sekali ‘impikan’ memperjuang satu jenama politik untuk “membela bangsa, agama dan tanah air”. Slogan itu amat cantik, tapi malang amalannya tidak seindah mana.

Kita orang Melayu sendiri terasa bersalah dalam hal ini kerana sebanyak sedikit turut disedut ke dalam politik kabilah ini – yang mengamalkan politik ‘orang kita’ dan ‘orang dia’ selagi politik bernama politik.

Kita amat perlukan iklim politik baharu yang lebih segar, matang dan keluar daripada bayangan politik lama yang menjengkelkan.

Antaranya yang teramat penting adalah kepatuhan dan penguatkuasaan rule of law. Undang-undang hanya bermakna bila kehendak dan arahannya dipatuhi. Walau apapun yang diteorikan oleh pihak-pihak yang terbabit dengan membelakangkan undang-undang negara, isu undang-undang dan penguatkuasaannya terus dipersoalkan.

‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’ – pe­patah Melayu lama yang sering terabai. Beringatlah! gambar, video dan berita sensasi diambil daripada ungkapan pembesar kerajaan boleh dikongsi serata dunia. Generasi baharu yang sejak kecil diajar menyalurkan informasi secara online tidak ingat lagi berpolitik cara dulu. Kitalah yang harus bersedia menghadapi perang politik berpentaskan media sosial bersama golongan ini.

Pelan kerajaan, waima dari segi ekonomi dan sosial yang sempurna jika tidak dilaksanakan dengan baik, akan gagal. Pelan yang tidak baik, jika dilaksanakan dengan baik, akan pasti berjaya. Bacaan yang terlalu mudah.

Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab setiap orang, waima dalam disiplin politik.

Sekadar melaung-laungkan sentimen agama atau secara provokatif pula, ia barangkali berupa strategi jangka pendek. Lama kelamaan muslihat itu pasti disedari pengundi bila mana merit memerintah negeri tersasar dari kecapaian.

Malaysia amat perlukan kestabilan, yang dalam konteks negara ini bertunjangkan keharmonian politiknya.

Perang politik Melayu masih panjang dan akan berterusan sampai bila-bila. Takdir tidak pernah salah. Kitalah yang melakar apa yang di hadapan.
Kitalah (wakil rakyat atau parti politik) yang membuka atau menutup gerbang perjalanan ke depan atau ke belakang.

 

Zulkifli Jalil adalah Pengarang Eksekutif Utusan Malaysia