‘Penyu merajuk’ angkara sikap kita - Utusan Malaysia

‘Penyu merajuk’ angkara sikap kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI terakhir penyu belimbing singgah untuk bertelur di pantai Terengganu adalah pada tahun 2017. Itu pun hanya dua ekor. Tidak diketahui kenapa spesies terbesar dalam keluarga marin itu enggan mengulangi rutin tahunannya ke pantai tersebut selepas itu sehinggalah ke hari ini.

Mengikut rekod, hanya lapan ekor penyu belimbing diketahui mendarat di pantai-pantai Terengganu khususnya di Rantau Abang pada tahun 2010. Selain itu, penyu agar dan karah masih memilih untuk mengunjungi pantai-pantai di situ untuk bertelur manakala spesies Lipas terus hilang daripada radar dan tidak pernah muncul sejak 2010 sehinggalah ke hari ini.

Kalau dahulu seingat saya, buku teks bahasa Melayu sekolah rendah dalam tahun-tahun 70-an ada menceritakan tentang populariti pantai Rantau Abang dengan habitat penyu belimbing yang dilabel paling besar kerana beratnya boleh mencecah 680 kilogram.

Walaupun ceritanya pendek dan gambarnya dalam paparan lukisan, ia sudah cukup mengujakan bagi kami pada waktu itu untuk melihat sendiri gergasi marin yang panjangnya mampu mencapai 1.6 meter berbanding dengan jenis lain.

Apa yang istimewanya tentang si belimbing ini mahupun yang lainnya? Hidupan yang dipercayai telah wujud sejak 100 tahun lalu ini adalah ejen pengimbang kepada ekosistem kehidupan marin dalam laut terutamanya dalam mengawal pembiakan obor-obor.

Di samping itu, kehadiran penyu juga adalah salah satu daripada ejen semula jadi untuk mengukur elemen-elemen tentang pantai dan kualiti air memandangkan reptilia marin tersebut sangat sensitif kepada persekitaran semasa memilih untuk bertelur pada musimnya.

Penyu juga adalah hidupan unik mempopularkan pelancongan eko, malah hidupan laut itulah yang selama ini menaikkan nama Rantau Abang dalam peta dunia merentasi Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik sehingga ke pantai California di Amerika Syarikat (AS).

Namun, pada hari ini, ia hanya tinggal kenangan kerana sikap manusia sendiri. Satu kajian yang dibuat di AS mendedahkan setiap tahun dianggarkan 2,300 ekor penyu mati disebabkan termakan beg plastik sampah dalam laut yang disangkanya adalah menu utamanya, obor-obor.

Selain itu, kerakusan nelayan menggunakan jaring atau pukat yang diharamkan juga menyebabkan 4,600 penyu mati terperangkap dalam jaring setiap tahun. Penambakan laut untuk tujuan pembangunan di habitat penyu, pencemaran, hakisan serta kekotoran pantai semua menyumbang kepada penurunan jumlah penyu mendarat di satu-satu kawasan itu.

Mungkin pada satu hari nanti, tidak ada lagi penyu yang mahu mendarat di pantai-pantai Malaysia kerana sikap kita sendiri yang cuai dan tidak mahu `ambil pusing’. Satu hari nanti generasi akan datang tidak akan lagi mengenali spesies itu, melainkan watak kartun Ninja Turtles.

Maka jadilah kita mencari sang penyu macam orang barat barangkali yang terus memburu Bigfoot di hutan AS atau naga Loch Ness di Scotland. Mahukah kita?

Meor Harman Meor Shakri ialah Pengarang Berita
Utusan Malaysia.