KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberikan gambaran menarik tentang politik Melayu. Apabila Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tidak bertembung sesama sendiri, sebaliknya bergerak dalam satu kerjasama, hasilnya cukup besar sehingga sukar untuk diketepikan.
Gabungan BN-PN berjaya menguasai 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Kemenangan itu bukan sekadar majoriri tipis atau bergantung kepada kelebihan beberapa ratus undi. Sebaliknya, beberapa calon mencatat majoriti yang cukup besar sehingga mencecah lebih 10,000 undi.
Di Sungai Udang, Datuk Rais Yasin menang dengan majoriti 16,214 undi. Di Ayer Molek pula, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali memperoleh majoriti 13,108 undi manakala Datuk Azman Abdullah di Serkam menang dengan majoriti 12,689 undi.
Telok Mas dan Duyong turut menyaksikan kemenangan dengan majoriti masing-masing 11,114 dan 10,040 undi.
Angka ini bukan kecil. Ia memberikan isyarat bahawa apabila undi Melayu yang sebelum ini berpecah kepada beberapa parti dapat disatukan, kekuatan politik yang terhasil jauh lebih besar.
Selama ini, persaingan antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyebabkan undi Melayu berpecah. Masing-masing mahu menjadi juara, masing-masing berasakan mereka mempunyai sokongan paling kuat. Akhirnya, pertembungan sesama sendiri membuka ruang kepada pihak lain untuk memperoleh kelebihan.
PRN Melaka menunjukkan keadaan itu boleh berubah apabila kepentingan politik yang lebih besar mengatasi perbezaan parti. Pengundi juga nampaknya boleh menerima kerjasama yang sebelum ini mungkin dianggap sukar untuk berlaku.
Namun, ada satu perkara yang perlu diperjelaskan. Penyatuan Melayu bukan ancaman kepada kaum lain. Tidak perlu ada pihak yang terlalu cepat berasa bimbang atau menganggap kerjasama politik Melayu sebagai usaha untuk menafikan hak masyarakat lain.
Dalam demokrasi, mana-mana kelompok mempunyai hak untuk bersatu, membina kekuatan dan memilih parti yang mereka percaya. Begitu juga masyarakat Cina, India dan kaum lain yang mempunyai hak untuk menentukan sokongan politik masing-masing.
Yang menjadi masalah bukan penyatuan sesuatu kaum tetapi apabila penyatuan itu digunakan untuk menimbulkan kebencian, menafikan hak orang lain atau membina tembok perkauman.
Sebab itu, kemenangan besar BN-PN perlu dilihat secara lebih terbuka. Ia adalah keputusan pilihan raya yang perlu dihormati, bukannya alasan untuk menghidupkan semula politik yang memecahbelahkan masyarakat.
Pada masa sama, BN dan PN tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan tersebut. Majoriti besar bukan lesen untuk berasa hebat, apatah lagi menganggap sokongan rakyat akan kekal selama-lamanya.
Rakyat mahu melihat hasil, bukan sekadar slogan penyatuan. Mereka mahu peluang pekerjaan, kos sara hidup yang terkawal, pembangunan dan pentadbiran yang tidak mengecewakan. Akhirnya, PRN Melaka memberikan satu pengajaran mudah. Orang Melayu boleh berbeza parti, berbeza pandangan dan berbeza ideologi tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh duduk semeja.
Penyatuan Melayu bukan ancaman kepada sesiapa. Yang sepatutnya menjadi kebimbangan ialah apabila pemimpin gagal memahami amanah selepas diberikan kemenangan besar oleh rakyat.
Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia
Penyatuan Melayu bukan ancaman kepada sesiapa

Media Mulia TV
Copyright © 2026 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H). All Rights Reserved