Penyanyi konsert Loy Krathong ala jurujual di Hatyai sahaja

Penyanyi konsert Loy Krathong ala jurujual di Hatyai sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika ramai yang sibuk memikirkan bagaimana untuk mengimbangkan semula kehidupan susulan langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar tahun depan, alih-alih pesta Loy Krathong menyelit kontroversi.

Sebelum ini acara tahunan yang disambut minoriti Siam di negara ini ramai tidak mengetahui akan kewujudannya.

Malah ada yang tidak tahu orang Siam adalah warga Malaysia. Jika sebut ‘saya Siam’ ramai yang anggap individu itu rakyat Thailand. Mereka akan terpinga-pinga apabila individu berketurunan Siam rupanya bertaraf bumiputera dan mempunyai akaun ASB.

Kini menerusi kontroversi pesta Loy Krathong di Wat Pathumviharn di Bachok baru-baru ini membuka mata ramai rakyat negara ini mengenai minoriti etnik Siam yang menyambut Loy Krathong setiap hujung tahun.

Pada hari tersebut etnik Siam melepaskan beribu-ribu bekas berbentuk bunga teratai yang dihiasi dengan bunga dan diselit dengan duit syiling, beberapa barang peribadi, lilin dan colok dengan mempercayai untuk melepaskan dosa dan memudahkan segala urusan masa depan.

Bagi memeriahkan Loy Krathong, mana-mana pusat ibadat atau wat yang berkemampuan akan menganjurkan konsert dengan menjemput penyanyi dari Thailand.

Penyanyi yang dijemput hanya artis ‘biasa-biasa’ bukan nama besar kerana setiap penganjur konsert itu akan mempertimbangkan kos yang perlu ditanggung. Elemen hiburan se­perti yang berlangsung di Bachok bukan yang pertama malah sudah menjadi kebiasaan sejak berpuluh tahun.

Malah konsert ketika pesta Loy Krathong bukan hanya di Kelantan malah di Kedah dan Perlis juga meriah tetapi setakat ini belum ada yang kecoh.

Malangnya di Wat Pathumviharn konsert itu tiba-tiba mencetuskan kontroversi. Ramai mendebatkan kewajaran konsert yang dilabel keterlaluan kerana membawa penyanyi seksi lagi ghairah.

Kritikan itu merimaskan masyarakat Siam dan mereka mempertahankan bahawa konsert tersebut sekadar hiburan dan pemakaian penyanyi yang dibawa itu didakwa tidak banyak beza dengan gadis atau wanita jurujual yang ditemui tiga juta pelancong Malaysia ke Thailand terutama  Hatyai sepanjang tahun ini.

Kerajaan Kelantan telah mengesahkan konsert tersebut sah cuma mencetuskan isu apabila turut ditonton orang Islam. Oleh itu, isu dengan perayaan Loy Krathong itu sebenarnya hal kecil namun dilihat agak ‘panas’ selepas bercampur aduk dengan sentimen politik.

Perkara itu mungkin ada kaitan dengan penganjuran konsert Coldplay di Kuala Lumpur minggu lalu. Sebelum berlangsung konsert Barat itu ramai tampil menentang kerana beranggapan konsert Barat ‘tidak manis’. Namun, konsert tersebut akhirnya berjaya menarik 85,000 penonton.

Dalam cuaca hujan renyai didakwa beberapa kenamaan turut bergembira dengan persembahan kumpulan Coldplay.

Hakikatnya ramai manusia gemar hiburan dan jika ada hiburan tidak ‘kena dengan selera’ janganlah cuba-cuba cetuskan kontroversi. Tidak semua hiburan memudaratkan, liar atau tidak senonoh. Undang-undang yang ada di negara ini cukup menjaga kesopanan sesuatu konsert hiburan dianjurkan.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia