Pengangkutan awam alternatif jimat belanja - Utusan Malaysia

Pengangkutan awam alternatif jimat belanja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pas Keluarga Malaysia yang bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat khususnya di Lembah Klang.

Dengan harga RM15 untuk sekeluarga empat orang (RM3.75 seorang) dan tiada had penggunaan untuk sehari, ia memang cukup murah. Walaupun hanya boleh digunakan untuk hujung minggu dan cuti umum tetapi ia masih satu tawaran yang menarik.

Mengambil kira jaringan sistem pengangkutan awam di bawah Prasarana yang meliputi sebahagian besar kawasan di Lembah Klang, harga yang ditawarkan itu amat-amat berbaloi dan menjimatkan.

Namun, persoalan lebih besar yang perlu dilihat di sebalik pengenalan pas itu ialah kemudahan dan kadar penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang masih jauh dari sasaran walaupun jaringannya meluas dan sistem yang moden serta efisien.

Kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk sistem pengangkutan awam yang selesa tetapi kebanyakan kita lebih selesa memandu kenderaan sendiri untuk ke mana-mana terutama ke tempat kerja walaupun terpaksa menghadap kesesakan setiap hari.

Tidak dinafikan menggunakan kenderaan sendiri memang mudah dan selesa. Hidupkan enjin dan terus jalan. Malah, bagi warga kota kos bahan api dan tol sudah dianggap sebahagian daripada kos yang tidak boleh dielakkan. Kesesakan jalan juga dianggap perkara biasa.

Tetapi dengan isu kenaikan mendadak harga barang dari bahan makanan dan keperluan harian hingga ke bahan binaan sejak kebelakangan ini, menggunakan pengangkutan awam adalah penawarnya dan alternatif terbaik dalam mengurangkan beban kewangan.

Bukan sahaja Pas Keluarga Malaysia, Prasarana juga menyediakan pas bulanan My30 yang sangat menjimatkan. (Tahun depan dinaikkan ke RM50 tetapi masih berbaloi). Hanya RM30 untuk perjalanan tanpa had selama 30 hari semua pengangkutan awam yang disediakan oleh Prasarana.

Dari Kajang ke Sungai Buloh kemudian ke Shah Alam, terus Puchong, sambung pula ke Ampang, dengan hanya RM1 sambil layan media sosial sepanjang perjalanan. Apa lagi anda mahu?

Ratusan ringgit wang petrol dan tol mampu dijimatkan jika memilih pengangkutan awam untuk ke tempat kerja atau ke mana sahaja. Apa yang perlu dilakukan ialah berkorbanlah sedikit dengan keluar lebih awal daripada biasa berbanding jika menggunakan kenderaan sendiri kerana anda mungkin perlu berjalan sedikit dan bertukar tren.

Jangan hanya mengeluh sahaja tanpa melakukan apa-apa di zaman serba-serbi naik harga ini. Selain menjimatkan kos, anggaplah menggunakan pengangkutan awam sebagai sumbangan kita kepada alam sekitar yang lebih sihat dan mengurangkan pelepasan karbon.

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya