Pengajaran daripada kes bunuh Zayn Rayyan

Pengajaran daripada kes bunuh Zayn Rayyan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hari ini akan diketahui nasib suspek yang direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin Mohd. Zaim.

Siapa pun pelakunya, Zayn Rayyan disahkan menjadi mangsa keganasan. Dia menjadi mangsa keganasan mungkin kerana kelainan upaya yang dimilikinya. Anak istimewa itu tiada daya untuk melawan mereka yang bertindak kejam terhadapnya.

Apa pun sebabnya dan siapa pun pelakunya, ia memberi pengajaran kepada semua tentang penjagaan anak istimewa terutama yang belum boleh mengendalikan diri sendiri.

Seorang pengetua sekolah kanak-kanak istimewa pernah berkata, mendidik anak-anak istimewa ibarat membaling bola tetapi bola tidak pergi ke mana.

Kanak-kanak istimewa mempunyai banyak tahap keupayaan dan Zayn Rayyan misalnya menghadapi masalah kelancaran pertuturan dan kawalan emosi.

Sebab itulah kesedaran ibu bapa dalam menjaga anak-anak istimewa itu penting terutama dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak tersebut terjamin. Mereka turut terdedah kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan.

Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa bukan sahaja perlu mempunyai tahap kesabaran yang sangat tinggi tetapi pengetahuan tentang penjagaan. Ini penting supaya anak-anak tersebut tidak menjadi mangsa kemarahan dan lebih buruk dipukul atau dicederakan.

Antaranya mereka perlu menyertai kumpulan sokongan yang pengikutnya menghadapi masalah sama. Ini penting supaya mereka dapat berkongsi pengalaman dalam menguruskan anak-anak istimewa berkenaan.

Penjaga kanak-kanak itu juga perlu memulakan langkah awal dengan membawa anak istimewa itu ke pegawai perubatan untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi dan langkah-langkah intervensi dapat diambil.

Selain mengikuti terapi di hospital awam, ibubapa juga boleh mengikuti program intervensi yang dikendalikan pihak swasta yang lebih berkesan dalam menguruskan anak-anak istimewa tersebut

Ini penting supaya pemahaman ibu bapa terhadap sikap, kelakuan dan pemikiran terhadap anak istimewa tersebut dapat dipertingkatkan.

Bukan mudah untuk menguruskan anak-anak istimewa sekiranya hanya bersandarkan pada kesabaran tetapi tidak mempunyai ilmu berkaitan.

Lebih buruk jika terdapat ibu bapa yang hilang pertimbangan sehingga mencederakan anak mereka. Sudah banyak kes berlaku kanak-kanak istimewa menjadi mangsa keganasan sama ada oleh ibu bapa sendiri atau pihak yang dilantik untuk menjaganya.

Kerajaan juga perlu melihat keperluan untuk membina lebih banyak institusi pendidikan khusus untuk anak-anak istimewa seperti Sekolah Permata Kurnia agar lebih ramai ibu bapa kurang berkemampuan dapat menghantar anak mereka pusat intervensi itu. – UTUSAN

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia