Pencen untuk penjawat awam gaji rendah, KWSP untuk gaji tinggi

Pencen untuk penjawat awam gaji rendah, KWSP untuk gaji tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMATAN skim pencen kepada lantikan baharu penjawat awam mewujudkan pelbagai perdebatan banyak pihak terutama dalam kalangan pemegang taruh seperti Cuepacs, ahli politik dan kakitangan awam sedia ada.

Keputusan kerajaan itu juga ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terpakai bagi pelantikan politik iaitu membabitkan mereka yang dilantik dalam Jemaah Menteri, menteri besar dan wakil rakyat.

Mereka yang terlibat tidak bersetuju kerana pendapatan yang terjamin apabila bersara kelak tiba-tiba dihapuskan. Ahli politik yang lebih ‘terluka’ kerana mereka berhak mendapat pencen apabila bertugas selama 18 bulan dan lebih.

Di negara yang ramai ahli politik dan ada menerima sehingga dua, tiga, empat dan lebih pencen atas dasar ‘perkhidmatan kepada rakyat’ walaupun sebahagian mereka tidak layak serta membazirkan wang pembayar cukai.

Kebanyakan yang memberikan komen gagal melihat seperti pepatah ‘can’t see the forest for tree’ iaitu kerana terlalu tertumpu kepada setiap pokok sehingga tidak nampak hutan. Anda mungkin ada mata tetapi tidak semestinya dapat melihat.

Kerajaan membelanjakan RM31 bilion setahun untuk pembayaran pencen kepada pesara. Jumlah itu akan mencapai RM120 bilion setahun pada 2040 yang bersamaan kuasa untuk membina 120 hospital bersaiz sederhana setiap tahun.

Hari ini kerajaan membelanjakan 48 peratus daripada Belanjawan untuk emolumen dan pencen. Bagi Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM95.64 bilion untuk emolumen daripada keseluruhan RM303.8 bilion peruntukan menguruskan negara.

Jika dibandingkan sektor pendidikan hanya menerima RM14.27 bilion manakala kesihatan yang menyelamatkan nyawa setiap hari pula menerima RM6.14 bilion.

Kakitangan kerajaan kini berjumlah kira-kira 1.6 juta dan sebahagian besar termasuk ahli politik yang berkualiti ‘cap ayam’ akan menerima pencen. Ada yang lupa ada lebih tujuh juta pencarum

KWSP aktif sektor swasta daripada hampir 14 juta akaun yang akan bersara kelak bakal hidup tanpa perlindungan pada hari tua.

Data menunjukkan 71 peratus pencarum berusia 55 tahun ke bawah tidak akan cukup dana dan akan berada di bawah paras kemiskinan. Adakah itu keadilan sosial?

Penyelesaian kepada isu ini adalah kerajaan boleh memberikan pencen kepada lantikan awam baru bergaji rendah atau kategori mereka yang akan tergolong dalam kumpulan miskin tegar apabila bersara kelak.

Kepada kakitangan awam yang mencapai gaji tinggi, pencen harus dihapuskan dan digantikan dengan caruman KWSP. Bagi menyeimbangkan kehilangan pendapatan, caruman kerajaan boleh dinaikkan daripada kadar wajib majikan kepada sehingga 23 peratus sebulan berbanding 13 peratus syarikat swasta ketika ini.

Ini juga membolehkan mereka dalam sektor awam dan skim KWSP bertukar kepada ke sektor awam tanpa kehilangan sebarang manfaat manakala sektor awam dapat menarik mereka yang bergeliga ke sektor awam kerana imbuhan KWSP tinggi.

Kakitangan awam skim KWSP juga boleh diberikan manfaat perlindungan kesihatan di semua hospital kerajaan selepas bersara selain manfaat seperti pinjaman kadar rendah untuk perumahan sebagai insentif berkhidmat dalam kerajaan.

Malaysia tidak akan dapat melakukan henjutan kekayaan kerana kekangan saiz dan sumber kekayaan terhad selain ketiadaan skala ekonomi atau ‘economy of scale’ dan ekonomi domestik yang besar kerana jumlah penduduk Malaysia hanya 33.4 juta berbanding Indonesia 273 juta.

Sebarang skim yang dilaksanakan harus berdasarkan keperluan dan keadilan sosial dan bukan ‘hak’ wajib. Seperti kata-kata ‘have your cake and eat it (too)’ iaitu anda tidak mungkin mendapat semua hanya kerana itu yang diingini.

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.