Penawar Covid-19 - Utusan Malaysia

Penawar Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Apabila Langkawi dibuka kepada yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk bercuti di pulau pelancongan itu mulai 16 September, maka berduyun-duyun datang di bawah program gelembung pelancongan.
Keadaan itu memang sudah dijangka kerana Langkawi antara destinasi utama pelancongan negara.
Lebih-lebih lagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai terperap di rumah sejak lebih setahun lalu.
Langkawi menerima sebanyak 3.92 juta pengunjung pada 2019 namun Covid-19 sejak awal tahun lalu menyebabkan industri pelancongannya merosot dan lumpuh awal tahun ini.
Langkah kerajaan melaksanakan syarat baharu iaitu ujian saringan Covid-19 terhadap mereka yang mahu ke Langkawi sekurang-kurangnya dapat mengelak berlaku penularan yang serius.
Ekoran itu ada pengunjung gagal ujian saringan apabila dikesan positif dan akibatnya terpaksa melupakan percutian ke pulau itu.
Sama ada tahu atau enggan menerima hakikat mereka bergejala positif Covid-19, tanpa sedar mereka sebenarnya boleh membawa bencana besar.
Covid-19 mungkin hanya memberi sedikit gejala kepada mereka seperti batuk, sakit tekak, selesema atau tidak ada langsung gejala.
Tetapi virus mereka yang disebarkan kepada orang lain boleh memberi kesan buruk malah membawa maut.
Orang lain itu mungkin tiada kaitan dengan mereka tetapi orang lain itu ialah bapa, isteri, anak dan ahli keluarga kepada seseorang.
Kematian sesetengah mangsa Covid-19 bermakna bencana kepada waris mereka terutama yang kehilangan tempat bergantung.
Cerita anak kecil menjadi yatim piatu kerana ibu bapa dijangkiti Covid-19 daripada pembawa virus di sekeliling mereka bukan kisah palsu.
Covid-19 memang membunuh dan ini terbukti dengan jumlah kematian menghampiri 30,000 orang di negara ini sejak tahun lalu.
Walaupun sebahagian besar yang meninggal dunia mempunyai sejarah kesihatan kurang baik, hakikatnya kematian berlaku akibat Covid-19.
Selagi dunia belum menemukan penawar Covid-19 dan wujud kumpulan tegar antivaksin, kematian akibat serangan virus itu akan terus berlaku.
Akibat ketiadaan ubat juga mereka yang positif Covid-19 akan dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawat Covid-19 (PKRC) untuk pemantauan. Golongan komorbid akan diberi ubat bersesuaian sehingga ujian darah mereka bebas jangkitan virus Corona.
Yang tidak ada penyakit tetapi bergejala akan terus dipantau dengan diambil darah.
Ketika ini sebanyak 22,575 orang terkurung di PKRC di seluruh negara untuk tempoh tertentu selain 172,648 orang menjalani kuarantin kendiri dengan pemantauan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Sama seperti total lock down selama tiga bulan pada tahun lalu, itulah yang mampu dilakukan ketika ini dalam ‘merawat’ Covid-19.
Selain vaksin tingkatkan daya tahan, putuskan rantaian jangkitan juga penting. Itupun jika semua boleh mematuhi SOP melawan Covid-19.

 

Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.