Pemilihan kuatkan UMNO - Utusan Malaysia

Pemilihan kuatkan UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Walaupun menjadi parti politik utama di negara ini dan telah mencorak pembangunan Malaysia sejak merdeka, namun perlu diakui bahawa UMNO kini semakin hilang populariti terutama dalam kalangan orang muda.

Biarpun ahlinya melebihi tiga juta orang tetapi itu tidak cukup untuk menjamin kemenangan dalam pilihan raya. UMNO hanya memperoleh 27 kerusi dalam PRU15 lalu. Jauh merosot berbanding PRU14 walaupun ketika itu imej parti itu jauh lebih buruk di mata pengundi.

Justeru, pemilihan barisan kepemimpinan UMNO tahun depan dilihat sebagai titik penting kepada survival parti itu. Pemilihan ini boleh menyelesaikan banyak isu.

Ramai yang mahu semua jawatan termasuk pre­siden dan timbalannya dibuka untuk ditandingi, namun ada juga yang tidak mahu pemilihan atas alasan untuk mengelak perpecahan.

Sebenarnya, suara yang mahukan pemilihan parti diadakan sudah lama kedengaran. Selepas melihat prestasi UMNO dalam PRU15, suara itu menjadi lebih lantang terutama di peringkat akar umbi.

Maka, membuka semua jawatan untuk dipertandingkan adalah jalan terbaik yang ada. Tidak perlu sekat-sekat. Nanti dituduh tidak demokratik, kuku besi dan sebagainya. Sekatan juga akan menimbulkan cakap-cakap belakang di kemudian hari. Dakwa-dakwi akan berterusan, rasa tidak puas hati juga akan berterusan.

Lagi pun, parti sudah berjanji untuk mengadakan pemilihan yang sepatutnya diadakan tahun ini tetapi ditangguhkan untuk memberi laluan kepada PRU15. Sebab itu perlembagaan parti berhubung perkara itu dipinda.

Malah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri ketika memberi reaksi kepada ura-ura Khairy Jamaluddin mahu melawannya meminta KJ bersabar kerana pemilihan bakal berlangsung tidak sampai enam bulan lagi.

Biarlah siapa sahaja yang layak untuk tawarkan diri dan terserah kepada perwakilan untuk membuat pilihan. Tambahan pula, UMNO sudah banyak kali mengadakan pemilihan dan tidak pernah pun berpecah. Sekadar carik-carik bulu ayam.

Pemilihan kali ini juga penting untuk melihat reaksi akar umbi terhadap beberapa keputusan yang dibuat pucuk pimpinan selepas PRU15 termasuk langkah bergabung untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Pemilihan akan menjawab persoalan itu. Pemilihan juga mampu menyatukan semula ahli dan memudahkan langkah perkasakan semula parti untuk menarik kembali sokongan. Terlalu banyak jasa UMNO kepada negara dan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu. Semua rakyat tahu fakta itu tetapi tentu ada sebab mereka tidak memangkah Barisan Nasional dalam PRU15 lalu.

Yang bertanding orang UMNO, yang terpilih nanti pun orang UMNO. Apa yang hendak dirisaukan. Pandang ke depan. Cabaran besar menanti. Dalam lima tahun lagi di mana UMNO? Ini perlukan jawapan.

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya