Pembunuhan karakter di Dewan Rakyat - Utusan Malaysia

Pembunuhan karakter di Dewan Rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT dan mendengar perbahasan pada persidangan Parlimen Ke-15 yang bermula pada 19 Disember lalu jelas me­nunjukkan tindakan segelintir wakil rakyat yang menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan untuk membalas dendam.

Malah ada yang menggunakan imuniti di sebalik Parlimen untuk menyerang peribadi pemimpin tertentu termasuk memetik laporan dari portal di luar negara yang entah wujud atau pun tidak.

Ini adalah cubaan menggunakan Dewan Rakyat untuk membunuh karakter pemimpin tertentu. Sedangkan kita langsung tidak nampak logik kenapa isu seperti itu dibangkitkan kerana ia tidak memberikan apa-apa manfaat atau kepenti­ngan kepada rakyat yang diwakili.

Pembunuhan karakter ini berlaku dengan menuduh pemimpin tertentu tanpa bukti kerana wakil rakyat yang membuat tuduhan itu sedar Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk mengawal selia tatacaranya sendiri dan apa sahaja yang dibangkitkan tidak boleh dicabar di dalam mana-mana mahkamah.

Setiap Ahli Parlimen menikmati imuniti daripada prosiding sivil dan jenayah terhadap perkara yang dibahaskan dan yang dibuat semasa sesi Parlimen. Sebab itu kelebihan ini digunakan oleh segelintir ahli Dewan untuk menyerang lawannya dengan tuduhan-tuduhan yang tidak masuk akal.

Tuduhan-tuduhan ini jika dibuat di luar dewan boleh dikenakan tindakan sivil. Inilah sikap wakil rakyat kita. Ketika rakyat berhadapan dengan musibah banjir, kejadian tanah runtuh, kemelut harga barang keperluan harian dan lain-lain lagi, wakil rakyat yang bersidang bertekak kerana kepentingan peribadi.

Ada yang bergaduh seperti budak-budak dengan tuduh menuduh termasuk memanggil lawan kera dan beruk.

Sepanjang persidangan baru-baru ini hanya beberapa kerat sahaja Ahli Parlimen yang bangkit memperjuangkan isu yang dihadapi rakyat.

Yang lain menjadikan Dewan Rakyat yang mulia itu seperti sebuah sarkas dengan jeritan-jeritan, maki-hamun, tohmahan dan sebagainya.

Baik wakil rakyat yang sudah veteran mahupun yang baru pertama kali jejak kaki ke Parlimen, semuanya gagal mengawal emosi. Semuanya mengikut perasaan hingga menjadi bahan ketawa rakyat marhaen.

Ada yang tertanya-tanya kenapa begitu buruk akhlak para wakil rakyat ketika berbahas di Parlimen? Ramai yang terpinga-pinga mendengar mereka yang bergelar Yang Berhormat bangun menjerit, memekik dan melolong hingga tidak terkawal. Mereka ini seolah-olah histeria apabila berada di Dewan Rakyat.

Tetapi yang paling licik sudah tentulah yang berlindung di sebalik imuniti Parlimen untuk membunuh karakter pemimpin tertentu. Ini jelas menunjukkan sikap tidak profesional serta menjadi Dewan Rakyat sebagai pentas untuk melunaskan dendam dan amarah peribadi.

Memetik kata-kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dewan yang mulia itu sepatutnya menjadi tempat untuk dasar-dasar dan cadangan-cadangan kerajaan dibahas secara rasional dan matang.

Beliau juga percaya generasi baru politik Malaysia secara umumnya mahukan politik yang lebih matang dan sihat.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya