Pembangkang kena cari isu lain - Utusan Malaysia

Pembangkang kena cari isu lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi perbualan hangat selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan kepincangan yang berlaku pada minggu lalu.

Maka ramailah yang komen terutama di media sosial. Ada yang berfakta tetapi tidak kurang juga yang dikuasai emosi dan sentimen kebencian terhadap kerajaan dan UMNO khususnya.

Bagi pembangkang, ini adalah peluang terbaik untuk menghentam kerajaan. Bahang pilihan raya yang semakin terasa menjadikan isu ini sedap dimainkan dan tidak boleh dibiarkan terpadam.

Serius sangatkah kepincangan yang berlaku dalam projek tersebut? Kalau kita baca laporan prosiding PAC itu, memang diakui terdapat beberapa masalah yang serius ter­utama membabitkan tadbir urus dana awam projek itu.

Kerajaan menyedari keadaan itu. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Menteri Pertahanan pada 2020 sebenarnya telah meninjau sendiri perkembangan projek itu pada tahun lalu.

Dengan keyakinan terhadap program pemulihan yang dirangka, beliau membawa isu itu ke Kabinet pada April lalu, yang kemudian memutuskan untuk meneruskan projek itu sehingga selesai.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah memulakan siasatan. Audit forensik juga sudah dibuat. Kabinet juga sudah mengarahkan siasatan dipercepatkan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke mahkamah.

Justeru, cadangan supaya projek itu dihentikan bukanlah opsyen buat masa ini. Projek ini sudah jauh terlewat tetapi menghentikan dalam keadaan kemajuannya sudah melepasi 50 peratus hanya akan memburukkan lagi ke­adaan.

Malah, ia mungkin menjejaskan pertahanan laut negara kerana rata-rata kapal dalam armada TLDM ketika ini dikatakan berusia lebih 30 tahun. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mungkin pilihan yang lebih sesuai jika siasatan lebih menyeluruh diperlukan.

Pasukan baharu Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) juga dilihat serius untuk melihat projek itu berjaya walaupun berdepan kekangan kewangan yang serius. Syarikat itu membayar komitmen mereka kepada bank menerusi perolehan daripada kerja-kerja pembaikan kapal bagi mengelak syarikat diisytiharkan bankrap.

Malah, gaji pekerja dipotong sejak Oktober tahun lalu manakala caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ditangguhkan pembayaran sejak bulan Mei lalu. Kalau dihentikan projek, apa akan jadi kepada pekerja ini. Mereka adalah kumpulan pekerja mahir yang berpengalaman.

BNS yakin kapal pertama bakal diserahkan kepada TLDM pada 2025 sehingga selesai sepenuhnya pada 2028. Sesungguhnya ini adalah satu episod yang penuh pengajaran.
Keputusan Kabinet semalam terutama menjadikan beberapa laporan siasatan dan audit projek itu sebagai dokumen awam amat dialu-alukan. Nampaknya, pembangkang kena cari isu lain untuk PRU15.

 

Ismail Daud ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya