Pelancong mahu lihat produk tempatan, bukan budaya luar

Pelancong mahu lihat produk tempatan, bukan budaya luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) semakin hampir, namun suasana di sekeliling kita belum benar-benar menampakkan tanda-tanda bahawa negara ini sedang bersiap sedia menyambut kehadiran 35.6 juta pelancong.

Di ibu kota misalnya, masih banyak bangunan ikonik kelihatan suram, catnya pudar dimakan hari. Dinding bangunan yang warna asal dicat putih, bertukar hitam dan hijau ditumbuhi lumut. Taman-taman awam pula sepi tanpa penataan semula landskap. Pokok-pokok bunga berwarna-warni yang sepatutnya memeriahkan pandangan tidak banyak kelihatan.

Terlalu awalkah untuk pihak-pihak berkaitan dan bertanggungjawab mencantikkan kawasan awam ini, atau kita masih menunggu bajet lulus dahulu, baharulah kerja dimulakan?.

Sebagai salah seorang daripada lebih 250,000 pengguna harian LRT Laluan Kelana Jaya, pemandangan ibu kota dari tingkap tren, sudah cukup memberi gambaran. Banyak kawasan masih kelihatan muram dan tidak mencerminkan semangat sebuah negara yang bakal melancarkan kempen pelancongan terbesar dalam sejarahnya.

Menurut laporan media, TMM menyasarkan 35.6 juta pelancong dengan potensi pendapatan RM147.1 bilion. Namun, kemeriahan angka tidak bermakna jika wajah negara sendiri tidak siap untuk disambut. Selain daripada isu kosmetik itu, apa yang lebih membimbangkan ialah apabila budaya luar semakin menonjol di ruang awam termasuk hiasan Halloween di pusat beli-belah menjelang Deepavali baru-baru ini. Pelancong datang ke sini untuk melihat keunikan tempatan, seperti wau, batik, tarian tradisional, rumah lama dan citarasa asli kita bukan labu plastik dan patung hantu.

TMM inilah peluang terbaik memperkenalkan negara kepada dunia termasuk menawan hati pelancong. Mulakan dengan perkara paling asas dengan menghargai warisan sendiri. Bukannya mencipta kontroversi untuk dikenali dan diingati.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM700 juta untuk merancakkan sektor pelancongan negara sempena TMM 2026. Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu membentangkan Belanjawan 2026 semalam berkata, sebanyak RM500 juta daripadanya adalah untuk digunakan untuk menjayakan Kempen TMM 2026, dengan RM60 juta didanakan bagi menggalakkan promosi, pemasaran dan penganjuran acara pelancongan serta aktiviti kebudayaan.

Sebanyak RM50 juta untuk menyokong pengusaha seni dan warisan menjana pendapatan seperti penggiat karya kraf, batik serta tenunan. Itu tidak termasuk lagi RM50 juta geran padanan menggalakkan penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia.

Manfaat Belanjawan 2026 ini pada perkara yang sepatutnya dalam mempromosi seni dan warisan tempatan kerana hasil pelancongan ini mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada negara tetapi kita sebagai rakyat jelata seperti peniaga-peniaga kecil. Percepatkan hasil kraftangan yang baharu, kreatif dan segar untuk cenderamata.

Bukan semua pelancong pergi ke lokasi mewah-mewah. Ramai yang lebih suka kepada kawasan luar bandar yang kaya dengan produk kraftangan dan makanan tradisio­nalnya.

 

Nor Afzan Mohamad Yusof adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN