Pelaku sumbang mahram, individu `terputus wayar' - Utusan Malaysia

Pelaku sumbang mahram, individu `terputus wayar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

‘Wayar terputus’, mungkin itulah yang terjadi kepada pelaku sumbang mahram. Pelaku-pelaku berkenaan sudah tentu amat tidak normal apabila tertarik untuk melakukan aktiviti seks dengan darah daging sendiri.

Dalam kontek ini, tindakan pelaku sangat mengaibkan manakala buat mangsa pula cukup menyedihkan.

Laporan kes sumbang mahram pelbagai ragam, ada yang mangsanya belum usia setahun dan ada juga kes-kes membabitkan remaja belasan tahun.

Namun kebanyakan kejadian banyak berlaku dalam rumah. Semua mangsa tidak tahu apa-apa atau tidak menjangka niat pelaku yang merupakan orang paling dekat dengan dirinya.

Mengikut statistik polis, lima negeri merekodkan sumbang mahram paling tinggi pada tahun lepas ialah Selangor dan Sabah masing-masing 38 kes diikuti Johor (36 kes), Sarawak (24) dan Perak (20).

Angka tersebut tidak penting, kerana yang lebih penting kenapa ia berlaku. Kes-kes sumbang mahram ada antaranya membabitkan lelaki bergelar ahli perniagaan dan lebih menyedihkan apabila ada yang berusia 70 tahun dan ke atas.

Ahli perniagaan sudah tentu bukan dalam kalangan individu seperti ‘katak bawah tempurung’ sebaliknya mereka sentiasa terdedah dengan banyak pilihan bukan muhrin tetapi kenapa memangsakan darah daging sendiri.

Begitu juga warga emas, dalam usia sebegitu bagaimana masih `ada hati’ menjebakkan diri dengan kes menjelekkan sebegini.

Mengikut polis, sumbang mahram banyak membabitkan dalam kalangan keluarga sederhana dan miskin. Masalah dihadapi golongan itu tidak stabil dari segi ekonomi dan kehidupan sosial mencenderungkan mereka `terputus wayar’.

Antara faktor menyumbang ialah mendiami rumah tidak banyak bilik tetapi ahli keluarga ramai mungkin lebih sepuluh orang tapi ada dua bilik. Suasana `fizikal’ tersebut didakwa mendedahkan kepada kejadian sumbang mahram.

Bagaimanapun, secara asas atau semula jadinya, tarikan berelemen seks dalam kalangan adik-beradik, ayah dan anak, pak cik dan anak saudara termasuk datuk dan cucu sangat aneh.

Perasaan ganjil tersebut harus ‘dicegah’ walau dalam apa jua situasi termasuk mendiami rumah tanpa bilik. Mereka yang dilahirkan sebagai manusia dianugerahkan bersama akal yang secara automatik mampu membezakan antara darah daging dan bukan.

Sumbang mahram memberi kesan besar kepada mangsa dan keluarga berkenaan untuk mendepani kehidupan normal.

Justeru, sama-sama kita menyelamatkan mangsa seterusnya mengekalkan institusi kekeluargaan agar terus bertamadun.

Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.