Pastikan bekalan minyak, barangan mencukupi, elak kegusaran rakyat

Pastikan bekalan minyak, barangan mencukupi, elak kegusaran rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETANG semalam ketika dalam perjalanan ke ibu negara, penulis berhenti di sebuah stesen mi­nyak di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam hajatnya hendak mengisi minyak.

Terdapat banyak kenderaan tengah beratur hendak mengisi minyak. Pada masa yang sama, terdapat sebuah pam ditutup dan sebuah lagi kosong, tiada kenderaan.

Kerana ingin cepat, penulis membuat pusingan dan hendak mengisi minyak di pam berkenaan. Namun, apa yang mengejutkan, tertera pemakluman ‘tiada stok RON95’ di pam berkenaan.

Mungkin sebab itu kenderaan terpaksa beratur di pam lain yang masih lagi ada stok RON95. Agak mengejutkan!

Penulis tidak pasti jika situasi sama ada berlaku di rangkaian stesen minyak jenama berkenaan dan juga stesen-stesen minyak jenama lain.

Jika ia berlaku, pasti menimbulkan kegusaran dan pelbagai persepsi dalam kalangan rakyat yang ketika ini sangat sensitif terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka, susulan krisis di Asia Barat.

Tambahan pula, kerajaan sebelum ini memberi jaminan bekalan minyak dalam negara mencukupi sehingga Mei. Malah, kapal minyak Malaysia yang sebelum ini kandas di Selat Hormuz dilaporkan sudah berlepas pulang ke Malaysia dan dijangka tiba tidak lama lagi di Pengerang.

Ini belum pun pertengahan April dan ada stesen minyak mengalami kehabisan stok RON95. Sudah tentu boleh mengundang pelbagai salah faham dan tuduhan kepada pihak kerajaan.

Justeru, untuk mengelak sebarang tanggapan buruk dan tindakan panik orang ramai maka pihak berkenaan terutama stesen-stesen minyak kenalah memastikan bekalan minyak tak kira jenis apa sekali pun lebih-lebih lagi RON95 sentiasa ada di setiap pam.

Keperluan rakyat tidak mengenal masa dan sebarang kehabisan stok boleh mengundang pelbagai salah faham.

Selain minyak, pihak kementerian bertanggungjawab juga perlu memastikan barangan ke­perluan harian pengguna di kedai-kedai runcit dan pasar raya sentiasa mencukupi.

Kebetulan, ada beberapa rangkaian pasar raya mini yang dikunjungi penulis, stok barangan seperti beras tidak ada, yang tinggal hanya beras import premium. Akibatnya, ramai pengunjung mengeluh dan mula ‘bergosip’ sesama mereka.

Untuk itu, pihak-pihak yang bertanggungjawab, rajin-rajinlah turun padang buat pemantauan stok barangan dan harga. Janganlah sampai semua­nya Perdana Menteri yang kena jawab, sementara menteri, timbalan menteri, ketua setiausaha dan ketua jabatan pula buat apa?

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia