Bakal jemaah haji kenalah ‘fit’

Bakal jemaah haji kenalah ‘fit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dan bagi Allah kewajipan manusia terhadap Allah ialah haji bagi sesiapa yang mampu sampai ke sana (Baitullah).” (Surah Al-Imran: 97).

Ramai yang gelisah dengan syarat baharu kesihatan untuk bakal haji tahun 2026 yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi baru-baru ini.

Yang paling bimbang pastinya warga emas, terutama mereka yang buat kali pertama menerima panggilan untuk ke Tanah Suci. Apa tidaknya, kebanyakan daripada kita hanya berpeluang mengerjakan haji atau umrah ketika usia sudah sampai umur persaraan. Ketika itulah wang baru cukup dan segala tanggungjawab lain telah dilunaskan. Dan pada usia itu jugalah banyak penyakit muncul, sakit lutut, kecing manis, darah tinggi dan berbagai lagi.

Dengan syarat baharu kesihatan itu, impian ke Tanah Suci boleh terkubur. Kenapa? Syarat baharu itu mengkehendaki bakal jemaah jemaah perlu bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal, selain berupaya menunaikan ibadah haji secara berdikari.

Jemaah juga dianggap tidak layak sekiranya menghidap penyakit seperti kegagalan buah pinggang kronik, penyakit jantung serius, penyakit paru-paru kronik, penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif.

Dalam erti kata lain, bakal-bakal jemaah merupakan mereka yang cukup-cukup sihat tubuh badan dan mampu menunaikan ibadah tanpa sokongan daripada mana-mana inidvidu. Sebelum ini, adalah pemandangan biasa jemaah didorong de­ngan kerusi roda dan diangkat dengan pelbagai alat sokongan atas faktor uzur, untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

Cuba kita lihat corak pemakanan rata-rata rakyat Malaysia termasuk warga emas yang bersusah payah mengumpul wang hendak menunaikan ibadah haji. Sejauh mana kita mengikuti piramaid pemakanan? Maka tidak hairanlah laporan menyatakan Malaysia mempunyai kadar kencing manis tertinggi di Asia Tenggara, dengan satu daripada setiap enam rakyat dewasa menghidap penyakit tersebut.

Umum mengetahui penyakit berangkai yang dibawa oleh kencing manis hingga ramai yang kena potong kaki dan sebagainya. Semua itu menyebabkan peluang untuk ke Tanah Suci semakin sempit.

Maka itu, rakyat Malaysia terutama bakal jemaah perlulah mengubah corak dan gaya hidup terutama bab makan minum. Janganlah sampai esok lusa nak berangkat masih ligat minum teh tarik dan makan roti canai di warung mamak. Lebih teruk lagi, makan roti canai cicah susu lemak manis. Memang me­ngundang padah.

Selain faktor pemakanan, berapa ramai dalam kalangan warga emas kita melibatkan diri dengan aktiviti fizikal seperti bersenam, jogging dan lain-lain yang boleh membantu mereka meningkatkan stamina dan kekuatan fizikal?

Semua maklum, untuk mengerjakan ibadah haji, kita bukan sahaja diminta untuk bersedia dari segi rohani, tetapi juga jas­mani. Banyak ibadah di Tanah Suci menuntut kekuatan diri seperti sa’i, tawaf dan lain-lain. Tanpa kekuatan fizikal, adalah mustahil untuk kita dapat menyempurnakan Rukun Islam itu dengan sempurna. Sebagaimana syarat baharu ditetapkan, kita tidak boleh lagi bergantung kepada orang lain memikul dan mengusung kita untuk menyempurnakan ibadah tersebut.

Sebalik­nya kita sendirilah yang perlu melakukannya, baharulah kita dapat menikmati betapa indah dan cantiknya ibadah tersebut.

Dalam hal ini, Tabung Haji boleh memasukkan aktiviti berlari anak, bersenam, berjalan kaki, merentas taman atau mungkin desa dalam modul kursus haji, selain kursus-kursus pemantapan ilmu kehoranian. Ia bagi memastikan bakal-bakal Jemaah haji kita benar-benar ‘fit’ untuk menyahut seruan ibadah haji.

 

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN